HIBURAN
Konsert Solo Stacy Di Sabah 21 Jun Nanti, Bakal Ada Segmen Khas Dengan Akim Ahmad! - "Ramai Peminat Suka Bila Kami Berduet"
Momen yang dinanti-nantikan peminat akhirnya tiba. Stacy, penyanyi kelahiran Sabah yang pernah mencipta fenomena sejak kemenangan Akademi Fantasia, bakal pulang ke negeri asalnya untuk mengadakan konsert solo mega berjudul “Aku Stacy Menggegar Kota U” pada 21 Jun 2025.
Pengumuman rasmi telah dibuat dalam satu sidang media eksklusif yang berlangsung dengan penuh gemilang di perkarangan Sabah International Convention Centre (SICC) – lokasi yang turut menjadi pentas utama konsert istimewa ini.
Bagi Stacy, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan dan lambang kasih kepada Sabah — tempat yang membentuk dirinya sebagai seorang artis.
“Ini bukan sekadar konsert biasa. Saya mahu ia jadi sebuah pengalaman visual dan emosi yang benar-benar ikhlas daripada hati saya, khas untuk semua yang membesar bersama lagu-lagu saya,” kata Stacy.
Stacy juga mendedahkan akan membawakan gabungan penari profesional dari Semenanjung dan Sabah untuk mencipta persembahan yang unik dan bercorak silang budaya.
Lebih menarik, konsert ini turut menyatukan kembali pasangan ikonik Stacy dan Akim Ahmad dalam satu segmen istimewa. Akim, yang turut hadir semasa sidang media, berkongsi kegembiraan mereka untuk kembali ke pentas bersama.
“Ramai peminat suka bila kami berduet. Jadi kali ini, ada segmen khas buat semua yang rindu momen romantik atas pentas. Semuanya akan jadi lebih manis di bumi Sabah,” katanya.
Dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan khas oleh U Mobile, konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” bakal berlangsung pada 21 Jun 2025, bermula jam 8 malam di SICC.
Istimewanya, Stacy turut memainkan peranan besar dalam membentuk keseluruhan konsep persembahan — daripada susunan muzik, koreografi, pemilihan kreatif sehingga ke rekaan visual pentas. Ini menjadikan konsert tersebut antara projek paling peribadi dalam karier seninya.
“Saya sangat bersyukur kerana U Mobile memberi ruang untuk saya melaksanakan impian ini dalam skala besar. Komitmen mereka dalam menyokong seni tempatan sangat saya hargai. Ini peluang untuk saya beri yang terbaik, bukan saja sebagai penyanyi, tapi sebagai pencerita dan penghibur,” ujar Stacy penuh makna.
.jpg)
Konsert ini juga bakal membawa peminat mengimbau perjalanan kariernya dari era “Aku Stacy” yang penuh semangat, sehinggalah ke karya-karya mutakhir seperti “Menyala”, dengan susunan muzik baharu dan persembahan visual yang dijanjikan bertaraf antarabangsa.
“Setiap lagu ada kisahnya. Saya mahu semua yang datang pulang dengan perasaan puas, terhibur dan terinspirasi,” katanya lagi.
Tiket konsert telah mula dijual secara rasmi bermula 10 April 2025 di laman web www.ticket2u.com. Kategori tiket yang ditawarkan termasuk:
Not For Sale (Seating) – RM6,000
Aku Stacy (Seating) – RM399
Pelangi Senja (Free Standing) – RM257
Gilalah (Free Standing) – RM197
Jahat (Free Standing) – RM137
Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti perkembangan konsert menerusi akaun rasmi media sosial Stacy dan U Mobile, yang turut menawarkan kandungan eksklusif di sebalik tabir menjelang hari konsert.
Dengan kombinasi emosi, visual, suara dan semangat pulang ke pangkuan tanah air, “Aku Stacy Menggegar Kota U” bukan sekadar konsert — ia adalah sebuah kisah yang hidup, diceritakan sendiri oleh Stacy, di pentas paling besar dalam hidupnya.