Hiburan
Konsert SOP! Kumpulan Slam Bakal Buat ‘Comeback’ Menerusi Slam Mentari Muncul Lagi Menjelang...
Selepas hampir tiga tahun tidak beraksi dalam satu persembahan berskala besar, kumpulan Slam akhirnya bakal beraksi dalam sebuah konsert digelar sebagai Slam Mentari Muncul Lagi.
Memilih Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai lokasi, konsert tersebut dijangka berlangsung pada 17 Januari 2021.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, 30 dalam industri, kumpulan Slam telah melalui pelbagai kenangan pahit dan manis sepanjang bergelar anak seni.
“Sudah lama kami merancang untuk menganjurkan konsert mereka dan kini impian itu jadi kenyataan.
"Biarpun keadaan pandemik COVID-19 dilihat semakin meruncing, namun kami yakin konsert tersebut mampu menyerlah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kami juga ada plan alternatif sekiranya keadaan semakin kritikal menjelang konsert.
“Namun, paling penting kami tidak akan sesekali mengabaikan keselamatan artis, peminat dan semua yang terlibat. Semua wajib ikut SOP,” katanya.
Sementara itu, Shah yang mewakili kumpulan Slam berkata, untuk konsert kali ini persiapannya akan jadi lebih mantap.
“Boleh dikatakan susunan muzik akan lebih mantap, malah kita akan memperbesarkan skala muzik itu dengan penambahan alat muzik lain.
“Soal SOP pula tiada masalah kerana semangat Slam sentiasa ada. SOP atau tidak kami sentiasa beri komitment 100 peratus.
“Harapan kami konsert Slam Mentari Muncul Lagi ini merupakan permulaan untuk konsert yang akan mendatang,” katanya.
Shah berkata demikian ketika sidang media khas yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Untuk makluman, konsert Slam Mentari Muncul Lagi menawarkan tiket berharga RMM700, RM360, RM260, RM200, RM160 dan RM130.
Layari www.myticket.asia untuk sebarang keterangan lanjut.
Must-Watch Video