Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya berjaya memukau lebih 8,000 penonton yang menjadi peminat tegar muzik serta karya mereka sejak dua abad lalu di Axiata Arena Bukit Jalil, malam Sabtu.

Peminat bagai mengubat rindu apabila dapat bertemu dan mendengar kembali nyanyian bekas vokalis kumpulan itu, Charly Van Houten, selepas lebih sedekad membawa haluan sendiri.

Reunion bersejarah itu turut menampilkan dua lagi rakan seperjuangan, Ilham Febry atau Pepeng (dram) dan Indra (bass), yang setia berdiri di atas nama ST12.

Seluruh dewan Axiata Arena bingit dengan jeritan peminat apabila mereka muncul dan memulakan persembahan dengan lagu-lagu perkenalan ST12 iaitu Rasa Yang Tertinggal, Jangan Mau Mau, Aku Terjatuh dan sebuah lagu hit, Putri Iklan.

Peminat terus dihidang dengan lagu-lagu galau ST12 seperti Stasiun Cinta, Asmara, Terlalu, Istana Bintang, Sungguh Terlalu Indah dan Tujuh Tahun pula diperdengarkan.

Selingan itu juga, Charyl turut berkongsi pengalaman, kenangan serta perjalanan kariernya bersama ST12 sehingga tahun 2012 yang membuatkannya rasa bangga hingga ke hari ini.

Malah, Charyl sempat menghargai rakan-rakan seperjuangannya ketika di dalam ST12 kerana keakraban mereka masih sama meskipun dia sudah mengundurkan diri.

“Sesungguhnya 20 tahun itu tidak terasa yang kita masih berkarya dan melibatkan diri dalam bidang muzik di Indonesia serta di Malaysia ini.

“Meskipun saya sudah tidak lagu bersama ST12 pada tahun 2012 tapi jujur saya gembira kerana dapat berkarya sehingga ke detik ini.

“Malah saya dengan ahli ST12 secara peribadi sudah menjadi seperti keluarga. Walaupun kami sudah tidak bersama dalam satu kumpulan tapi masih menjalinkan hubungan yang baik,” katanya di atas pentas.

Penonton terus asyik menyanyi bersama dengan lagu-lagu popular mereka seperti Jangan Pernah Berubah, Cari Pacar Lagi, PUSPA, Putih Putih Melati dan banyak lagi.

Dalam pada itu juga Charyl juga gembira apabila melihat sokongan padu daripada peminat pada malam itu yang tidak henti dan terus bertenaga untuk ‘sing a long’ dengannya.

“Malam ini akhirnya terjadi bukan kerana kita hebat, tetapi disebabkan kalian yang cukup bahagia,” ucapnya.

Konsert pada malam itu turut dimeriahkan dengan artis undangan. ST12 menjemput rakan seperjuangannya Firman Siagian untuk menyanyi bersama selain penyanyi tempatan seperti Jaclyn Victor, Ezad Lazim serta anaknya, Restu Van Houten.