HIBURAN
Konsert Sulung Insomniacks: Echoes Of A Dream Sukses! Iqie Luah Rasa Syukur - “Selepas 10 Tahun Berada Dalam Industri…”
Vokalis Insomniacks iaitu Syed Mir Iqbal atau Iqie, meluahkan rasa syukur apabila konsert sulung kumpulan itu berakhir dengan jayanya.
Hati tersentuh lihat sokongan peminat
Menurut Iqie, kehadiran peminat pada malam tersebut benar-benar membuatkan hati mereka tersentuh terhadap sokongan yang diberikan.
“Alhamdulillah konsert sulung kami selepas 10 tahun berada dalam industri berjaya. Malah sokongan peminat pada malam tersebut sangat hebat dan ia buatkan kami semua rasa terharu.
“Perkara itu buatkan kami bersemangat untuk hasilkan lagi karya-karya hebat selepas ini berbekalkan sokongan daripada mereka,” katanya.

Konsert sukses, pukau 2,400 penonton

Konsert Insomniacks: Echoes of a Dream berlangsung meriah pada Sabtu lalu dengan kehadiran seramai 2,400 penonton.
Konsert yang membanjiri ruang acara di Zepp Kuala Lumpur itu berjaya mencetuskan suasana luar biasa dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan tersebut.
Lebih istimewa lagi, sebagai tanda penghargaan, Insomniacks telah mengeluarkan lagu terbaharu berjudul ‘Seperti Dulu’ sebelum konsert berlangsung.
Dalam konsert penuh makna itu, sebanyak 21 lagu telah disampaikan oleh Insomniacks antaranya Pulang, Sempurna dan Igauan.
Malah terdapat juga beberapa lagu baharu yang pertama kali dipersembahkan secara langsung kepada umum.
Insomniacks yang dianggotai oleh Iqie, Wan Arif Iskandar (pemain bes), dan Danial Lee Hashim (pemain gitar) turut menampilkan persembahan khas daripada penyanyi terkenal Indonesia iaitu Nabila Taqiyyah yang berkolaborasi menerusi lagu ‘Belum Mulai’.
Turut memeriahkan pentas adalah rakan-rakan artis popular seperti Nabila Razali, Killa Driz dan Arif Kamaruddin.
Kejayaan konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment berkolaborasi bersama Universal Music tersebut membuktikan lagi kedudukan Insomniacks sebagai antara band alternatif paling berpengaruh dalam industri muzik tanah air masa kini.
Sebelum ini tiket konsert sulung Insomniacks ini telah berjaya ‘sold out’ dalam masa hanya 4 jam, menandakan sokongan luar biasa daripada para peminat setia mereka iaitu Maniacks.
Tidak cukup dengan itu, Insomniacks bakal menghangatkan lagi suasana dengan konsert mereka seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada 16 Ogos depan.
Sama seperti konsert sebelum ini, tiket konsert di Singapura juga telah habis terjual menandakan kejayaan besar bagi kumpulan itu di peringkat antarabangsa.
Must-Watch Video