Tinggal satu hari lagi Konsert Ulang Tahun Ke-30 Wings bakal menggegarkan Stadium Negara dan sudah pastinya para peminat setia mereka sudah tidak sabar untuk menyaksikan kumpulan rock lagenda itu beraksi.

Tambahan lagi konsert ini dianjurkan untuk meraikan kejayaan Wings yang mampu bertahan sebagai kumpulan rock terkenal tanah air selama dua dekad.

“31 Oktober adalah tarikh keramat buat kami dan kami akan menjadikannya satu malam yang paling istimewa dan tidak akan dilupakan peminat setia Wings.

“Kami menjanjikan lagu-lagu terbaik dan sudah berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan peminat puas pada malam konsert itu nanti.

“Dikesempatan ini kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membeli tiket dan tidak jemu-jemu menyokong Wings selama ini,” kata Awie ketika ditemui Astro Gempak.


*Wings akan turut mengenakan pakaian seperti zaman kegemilangan mereka pada malam Sabtu ini.

Lebih istimewa lagi, selain Wings peminat juga boleh menyaksikan persembahan daripada 12 kumpulan indie yang berlangsung pada sebelah petang.

Kemeriahan ini akan ditambah lagi dengan 200 artis yang menyokong konsert istimewa tersebut.

Selain itu, nama-nama besar seperti M.Nasir, Hattan, Ito (Blues Gang), Amy Search akan turut tampil pada segmen tribute selama satu jam bermula 8 malam.

Pada malam itu nanti akan turut ditampilkan ahli lama yang pernah berjuang bersama Wings seperti Mus, Mel dan Jojet untuk menghangatkan lagi pentas.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Ulang Tahun Ke-30 Wings berharga RM45 (pelajar), RM85 dan RM285 yang boleh dibeli menerusi www.tickethotline.com.my.

Orang ramai juga boleh mendapatkan tiket VIP berharga RM985 yang mengandungi pelbagai kemudahan isitimewa termasuk hotel penginapan, pengangkutan, makan dan minum serta beramah mesra dengan anggota Wings.