Selebriti Mizz Nina melihat pengisian atau konten islamik semakin diperlukan oleh masyarakat masa kini.

Menurut Mizz Nina, media halal harus dijadikan arus perdana (mainstream) agar dapat terus menyuntuk inspirasi dalam kalangan umat Islam.

"Kita perlu menjadikan konten islamik atau media halal sebagai mainstream untuk memberi inspirasi dan motivasi juga membantu masyarakat untuk sama-sama menguatkan iman kerana apapun, kita harus lakukan perkara yang diredhai Allah SWT.

"Konten islamik semakin diperlukan oleh masyarakat masa kini kerana orang ramai mencari pengisian berkaitan rohani.

"Pada masa sama, isu kesihatan mental juga sedang meningkat, ramai yang mengalami masalah seperti anxiety dan kemurungan, jadi orang mencari konten berkaitan kerohanian," katanya.

Mizz Nina berkata demikian dalam sidang media virtual sempena Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 (WHBC 2021) baru-baru ini.

Bercakap mengenai platform media islamik miliknya iaitu DOPStv, Mizz Nina berharap agar dapat menjalankan pelbagai kerja yang tertangguh disebabkan pandemik COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sebelum ini.

"Untuk DOPStv pula, agak banyak perkara yang terbatas sejak kebelakangan ini dari segi penggambaran dan sebagainya disebabkan pandemik COVID-19 dan SOP yang lebih ketat sebelum ini

"Sekarang SOP dah dilonggarkan, jadi saya harap boleh keluar dan lakukan lebih perkara kerana setakat ini, kami hanya bekerja dari rumah sahaja untuk pengisian di media sosial," katanya lagi.

WHBC 2021 adalah edisi ke-13, anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang membincangkan peranan dan sumbangan industri halal terhadap pemulihan ekonomi secara global.

Ia telah disertai kira-kira 1,000 delegasi dari 35 negara dengan wakil daripada pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, pakar industri, pembuat polisi, ahli akademik dan orang awam secara maya buat pertama kali.