Kontroversi Heret Rezeki Mak Wan Latah! Setahun Tiada Job, Bergantung Harap Bisnes Sambal - "Kenapa Ujian Saya Sebegini?"
Asyikin Mayudin
28/09/2023 23:50 MYT
28/09/2023 23:50 MYT
Pelbagai dugaan yang perlu dihadapi, pelakon veteran Mak Wan Latah tidak dapat menahan sebak ketika mendedahkan dia sudah lama tidak menerima tawaran berlakon hampir setahun.
Buntu sumber pendapatan utama sudah tiada, Mak Wan kini bergantung harap dengan perniagaannya menjual sambal buatan sendiri di Taiping, Perak demi menampung kos sara hidup.
“Kenapa dugaan dan ujian saya sebegini sedangkan dengan duit berlakon sebelum ini mampu hantar emak saya ke Mekah. Kenapa jadi begini? Kenapa pilih saya?
“Dengan kontroversi lagi, macam-macam yang saya lalui. Dengan rumah tangga saya difitnah. Tolonglah sokong dan beli sambal saya yang dijual di sebuah acara yang berlangsung di Taiping sehingga Oktober nanti.
“Saya terpaksa berniaga sambal, mencari duit untuk meneruskan kehidupan harian. Memang sukar tetapi perlu lakukannya juga,” katanya.
Ditanya berapa hasil jualan seharian yang diterima, jawab pelakon berumur 62 tahun itu tidak menentu namun pernah hanya memperoleh sebanyak RM10.
Tambah pemilik nama Halimatussa’diah Mohd Daud, dia kesal apabila kontroversi panas sebelum ini telah mengganggu perjalanan karier seninya.
“Saya rasa tidak adil apa yang berlaku pada saya sedangkan saya tidak aniaya sesiapa. Saya hanya nak ‘job’ saja, tidak pernah curi ‘job’ sesiapa pun.
“Saya sedih dan jujur memang tiada siapa hubungi untuk beri tawaran berlakon tetapi perlu reda mungkin rezeki saya sekarang pada perniagaan.
Dalam pada itu, Mak Wan memohon agar penerbit dan syarikat produksi memberi peluang kepada dirinya untuk terus berada dalam dunia lakonan.
Terdahulu, nama Mak Wan hangat diperkatakan apabila bekas suaminya, Husain Dolah mendedahkan punca penceraian pada April 2022 disebabkan bekas isterinya tidak mempunyai akhlak tidak baik.
Tidak habis di situ apabila bekas pembantu peribadinya pula tampil mendedahkan pelakon itu melakukan perbuatan syirik menerusi beberapa video yang dikongsi dalam aplikasi TikTok.
Selain itu, tular video memaparkan gelagat Mak Wan berkaraoke ketika dalam tempoh idah di media sosial.