Terpalit dengan kontroversi melibatkan kehidupan peribadi, penyanyi Haqiem Rusli bagaimanapun menganggap ia tidak memberi kesan terhadap sambutan single terbaharu berjudul Disebalik Rahsia.

Mengambil secara positif, Haqiem mengakui bukan mudah untuk menjangkakan sama ada sesebuah lagu itu bakal menjadi hit atau kurang mendapat sambutan.

“Secara jujurnya single terbaharu saya berjudul Disebalik Rahsia kurang mendapat sambutan. Namun apa yang penting saya terus berkarya dan tidak berputus asa.

“Sekurang-kurangnya anda teruskan memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya. Bagi saya tidak sebarang kaitan kerana kehidupan peribadi dan kerjaya saya adalah dua perkara berbeza.

“Mungkin rezeki tidak berpihak kepada lagu terbabit dan rezeki kepada lagu lain pula pada masa akan datang. Saya sering mendapat nasihat, jika lagu itu tidak dapat sambutan, teruskan berkarya.

“Ada lagu yang menjadi, ada lagu yang kurang menjadi. Jadi sebagai seniman, jangan sesekali berputus asa sebaliknya terus berkarya menghasilkan sesuatu yang baharu,” katanya.

Terdahulu, nama Haqiem dan isterinya, Anis Sofea menjadi hangat apabila Sofea mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung sejak sambutan Aidilfitri lalu.

Malah, Haqiem turut menepis dakwaan yang mengatakan rumah tangganya bermasalah namun mengakui spekulasi itu mungkin berpunca daripada dia jarang berkongsi mengenai isterinya di laman sosial.

Haqiem mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert RockMantic Night Judika and The Gang yang berlangsung baru-baru ini.

Selain Haqiem, konsert yang bakal berlangsung pada 21 Oktober depan di Axiata Arena, Bukit Jalil turut menampilkan teraju utama Judika dari Indonesia serta dua penyanyi tempatan, Shila Amzah dan Marsha Milan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Suami Penat Cari Duit, Jaga Nama Baik…” - Isteri Haqiem Ditegur, Netizen Mohon Jangan Pakai Kain Terbelah, Baju Nampak Dada

ARTIKEL BERKAITAN: “Biar Saya, Isteri & Tuhan Sahaja Tahu” - Haqiem Rusli Enggan Dedah Punca Sebenar Isteri Buka Tudung, Tak Benarkan Anis Sofea Diwawancara