NUSANTARA
Kostum Jururawat Dalam Muzik Video Lovesick Girls, Blackpink Dikecam Terlampau Seksi Dan Menghina
Blackpink baru melancarkan single terkininya, Lovesick Girls yang sudah mendapat lebih 100 juta tontonan di YouTube sejak disiarkan pada 2 Oktober lalu.
Di sebalik rekod tontonan tersebut, ada satu isu yang dibangkitkan oleh persatuan jururawat Korea Selatan.
Portal Soompi melaporkan pada Selasa, persatuan ini mengkritik penampilan uniform jururawat yang dilabelkan sebagai tidak tepat, terlalu singkat dan menjurus ke arah imaginasi seksual yang tak sepatutnya.
Persatuan itu merujuk kepada adegan salah seorang anggota Blackpink iaitu Jennie yang memakai uniform jururawat bersama kasut tinggi di dalam video muzik tersebut.
"Topi, skirt yang pendek bersama kasut tinggi adalah imej yang sangat bertentangan dengan uniform sebenar para jururawat.
"Imej ini sangat tidak benar dan lebih kepada kostum yang mendorong ke arah imaginasi kurang elok.
"Jururawat adalah sebuah pekerjaan yang profesional, tetapi selalu dijadikan seperti objek seks (penampilan). Dan kami telah membantah ini sejak bertahun lamanya," tulis kenyataan yang diberikan oleh persatuan tersebut.
Bersama kritikan tersebut, media sosial juga dipenuhi dengan tanda pagar NursesAreNotCostumes, #Stop_Sexualizing_Nurses, dan #nurse_is_profession.

Sedar mengenai kontrovesi yang tercetus, pihak agensi YG Entertainment terus memberi respons.
Mereka mengatakan sangat menghormati kerjaya para jururawat dan menjelaskan maksud di sebalik lagu Lovesick Girls.
"Lovesick Girls adalah sebuah lagu yang mengangkat tema persoalan tentang seseorang yang telah disakiti tetapi tetap tak putus asa untuk mencari cinta.
"Berkaitan adegan menggenakan kostum jururawat dengan seorang pesakit di lagu ini , ia merujuk kepada bait lirik “No doctor could help when I’m lovesick" (tiada doktor yang dapat menyembuhkan saya apabila dilamun cinta).
"Kami tidak mempunyai maksud lain di sebalik adegan ini. Jadi pihak kami sangat berharap agar ia dilihat sebagai sebuah ekspresi dalam muzik," tulis YG Entertainment.
Agensi juga mengatakan setelah tercetusnya kontroversi ini, mereka sedang memikirkan alternatif untuk membuang adegan tersebut.
Kredit Foto: Blackpinkupdate
Must-Watch Video