Berita
Kostum Yang Dipakai Pelakon Jadi Pameran di Malam Gala The Garden of Evening Mists! Cantiknya!
Malam Gala filem The Garden of Evening Mists (TGOEM) yang berlangsung kelmarin benar-benar mencuri tumpuan ramai.
Mana tidaknya, pada malam itu, buat julung kalinya pakaian yang digunakan barisan pelakon utama dalam naskhah tersebut dipamerkan buat tontonan umum.
Justeru, penonton yang hadir dapat melihat sendiri secara dekat kostum yang digunakan sewaktu menjayakan filem yang mendapat sentuhan pengarah kelahiran Taiwan, Tom Shu-Yu Lin itu.
Kesemua busana tersebut memaparkan fesyen yang digayakan masyarakat pada era 1950-an sehinggalah ke tahun 1980-an.
Apa yang membanggakan pakaian yang digunakan dalam filem itu jugalah yang mengangkat filem TGOEM itu memenangi Rekaan Kostum dan Solekan Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-56 yang berlangsung di Taiwan tahun lalu.
Terdapat lima busana yang dipamerkan pada malam itu. Kesemuanya digunakan oleh barisan pelakon Sinje Lee, Hiroshi Abe, Sylvia Chang, dan John Hannah.
Antaranya termasuklah, skirt labuh, padanan seluar dan kemeja, sut skirt yang digayakan wanita era 1980-an, sut lelaki dan pakaian tradisional Jepun, kimono.
Kesemua kostum tersebut dihasilkan oleh pereka kostum kelahiran New Zealand, Nina Edwards yang mencipta nama di Australia.
Jika anda menonton sendiri filem TGOEM nanti, pasti akan kagum dengan setiap kostum yang digayakan barisan pelakon.
Ini kerana, ia seolah-olah membawa anda menyelusuri sendiri fesyen era 1950-an.
Bagi mereka yang pernah berada pada zaman selepas penjajahan Jepun, sudah pasti ia lebih menggamit kenangan lama.
TGOEM merupakan filem adaptasi novel hasil karya anak tempatan, Tan Twan Eng yang menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang cuba mencari ketenangan di Cameron Highlands.
Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban, dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).
Jadi, jangan lupa saksikan filem The Garden of Evening Mists yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 16 Januari ini.
Must-Watch Video