BERITA

KPM Siasat Kes Tular Guru Didakwa Malukan Murid

Gempak 26/05/2025 | 07:25 MYT

Insiden beberapa guru didakwa memalukan seorang murid sekolah rendah di hadapan rakan sehingga memberi kesan emosi terhadap kanak-kanak berkenaan kini dalam siasatan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri, Fadhlina Sidek, berkata perkara itu amat dikesali lebih-lebih lagi rakaman berkenaan turut tersebar dan memberi impak besar kepada masyarakat.

Katanya, KPM akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memberi tumpuan kepada isu ini.

"Guru sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa mengenai integriti dan etika sebagai penjawat awam walau apa juga isu yang terjadi.

"Saya juga yakin dan percaya ada ruang lebih selamat dan bersifat privasi untuk memastikan apa saja perbincangan dan isu dapat diselesaikan secara baik," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran dan simbolik penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah pada Isnin.
Koleksi komik tiga siri itu hasil kerjasama strategik antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, tular video berkenaan seorang murid sekolah rendah yang dimarahi beberapa guru di kantin sekolah yang mana murid berkenaan dipaksa untuk mengaku perkara yang tidak dilakukannya.
Video itu dirakam dan kemudian diberikan kepada ibu murid berkenaan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan untuk memperhalusi perkara ini dengan lebih serius kerana ia membabitkan integriti dan etika guru.

"KPM juga sebenarnya sudah berkali-kali mengingatkan kepada guru yang juga penjawat awam mengenai garis panduan sedia ada dan mematuhi etika serta integriti baik di dalam kelas, luar kelas dan media sosial sekali pun," katanya.

Sumber: Berita Harian

#Guru #Anak Murid #KPM