BERITA
KPT Sahkan 15 Pelajar UPSI Maut Nahas Bas
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam nahas kemalangan bas yang berlaku di Gerik pada awal pagi tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menyifatkan mendedahkan tragedi berdarah sebagai antara paling menyayat hati dalam sejarah institusi itu.
Jelasnya, pihak kementerian sedang menyelaras pelbagai bentuk bantuan segera termasuk urusan penginapan untuk keluarga mangsa yang kini berada di Perak bagi proses pengecaman dan pengurusan jenazah.
“Bantuan penginapan sedang dikoordinasi bersama Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik untuk memastikan keselesaan keluarga mangsa sepanjang berada di sana.
“Saya kini dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bertemu keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan serta sokongan secara langsung,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut maklumat terkini, Zambry menegaskan 13 jenazah telah dibawa ke Hospital Ipoh untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi masih di Hospital Gerik untuk urusan post mortem.
Tambahnya, mangsa yang cedera pula sedang mendapatkan rawatan di Hospital Gerik, dengan sebarang perkembangan lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Kata Zambry lagi, dalam usaha menyelaras maklumat dan bantuan kepada semua keluarga yang terlibat, UPSI turut telah menubuhkan bilik gerakan khas dan talian hotline untuk memudahkan komunikasi.
“Saya mohon agar kita semua terus mendoakan agar segala urusan mangsa dan keluarga dipermudahkan.
"KPT dan UPSI komited untuk menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada semua yang terkesan dalam tragedi ini,” katanya.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kemalangan tersebut.
Sumber: Sinar Harian