Hiburan
Kris Dayanti Gembira Impian Adakan Konsert Di Istana Budaya Tercapai
Penyanyi popular dari seberang Kris Dayanti meluahkan rasa gembira setelah impiannya untuk mengadakan konsert di Istana Budaya tercapai.
Menurut Kris Dayanti atau KD, dia mempunyai cita-cita untuk melakukan persembahan di pentas berprestij itu setelah melihat dua temannya, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Rossa mengadakan konsert di sana.
"Apabila ditawarkan untuk mengadakan konsert di Istana Budaya secara jujurnya saya rasa umpama mimpi jadi kenyataan.
"Kerana sebelum ini saya memyimpan hasrat untuk membuat konsert di sana selepas melihat sahabat saya, Datuk Siti dan Datuk Rossa beraksi di pentas berprestij tersebut.
"Konsert ini juga sebagai tanda penghargaan kepada peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong kerjaya di sana," katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert Romansa Kris Dayanti di Jakarta, Indonesia, petang Khamis.
Dalam pada itu, KD memberitahu konsert yang diberi nama Konsert Romansa Kris Dayanti itu memberikan seribu satu makna buat dirinya.
"Perkataan Romansa itu saja sudah cukup bermakna bagi saya kerana melambangkan, kehebatan, kepahlawanan dan keunggulan seorang wanita.
"Pada usia 41 tahun ini saya rasa bersyukur kerana masih lagi diberi kesempatan untuk mengadakan sebuah lagi konsert.
"Sudah pasti ini merupakan konsert istimewa kerana ini pertama kali saya akan menjayakan persembahan selama tiga malam berturut-turut.
"Sudah pasti di konsert itu nanti akan ada kejutan buat peminat selain menampilkan beberapa artis Malaysia," jelasnya.
Konsert Romansa Kris Dayanti yang dibawakan oleh Syarikat Malaysia, Neo Global Sdn Bhd ini akan berlangsung pada 26 hingga 28 Februari 2017.
Konsert tersebut akan dipimpin oleh pengarah muzik terkenal Aubrey Suwito dan Kris Dayanti bakal menyanyikan sekitar 28 buah lagu.
Dalam perkembangan lain, KD baru mengeluarkan dua lagu berbahasa Inggeris berjudul Sleep to Dream dan In Love Again yang diterbitkan di Amerika Syarikat.
Must-Watch Video