HIBURAN

Kru Filem Mantera Dakwa ‘Ditarik’ Makhluk Halus Sebelum Jatuh Gaung, Syafie Naswip & Namron Saksi Detik Cemas

Umirah Halim 22/04/2025 | 14:55 MYT
Sebuah naskhah seram penuh elemen mistik berjudul Mantera bakal menemui penonton di pawagam bermula 24 April 2025, mengetengahkan kisah amalan ritual kuno masyarakat Dusun di Sabah yang jarang dipaparkan dalam arus perdana.

Filem terbitan Pro Merge Vision Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Chester Pang, yang turut bertindak sebagai penerbit, dan menampilkan gabungan pelakon berkaliber seperti Syafie Naswip, Namron, Jovenia Jim, Wedylin Batala, dan Larry Noh.

Menurut Chester, inspirasi menghasilkan Mantera datang daripada keinginan untuk memperkenalkan amalan tradisi lama masyarakat Dusun yang dikenali sebagai Bobolian – bomoh atau ketua adat yang berperanan sebagai perantara antara dunia manusia dan alam spiritual yang dipanggil kinohiringan (dewa).

“Boleh dikatakan tidak ramai mengetahui tentang tradisi lama ini. Bobolian bukan sahaja bomoh, tetapi berperanan besar dalam menjaga keseimbangan antara dua alam. Saya merasakan kisah mereka wajar diketengahkan dalam bentuk filem,” katanya.

Gabungan Seram, Ritual dan Budaya

Mantera bukan sekadar filem seram biasa. Ia menggabungkan elemen penyiasatan, ritual kuno, dan gangguan makhluk halus yang disusun dalam naratif berlatarkan budaya masyarakat Sabah, khususnya kaum Dusun.

Kisahnya mengisahkan Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kebolehan spiritual dari keturunan Bobolian. Kehidupannya mula diganggu apabila roh jahat bernama Rogon Lupiah menyerang orang di sekelilingnya. Bersama Inspektor Zafri, seorang pegawai polis yang menyimpan masa silam kelam, mereka harus mengungkap sejarah hitam keluarga Tana dan menghadapi ancaman roh jahat dalam pertempuran penuh mistik.

Insiden Seram Sebenar Ketika Penggambaran

Menariknya, proses penggambaran filem ini yang dijalankan di beberapa lokasi di Sabah seperti Tambunan, Apin-Apin, dan Kota Belud pada Februari 2024 turut menyaksikan kejadian luar jangkaan yang menyeramkan.

“Ketika satu babak memanggil roh dirakam di sebuah balai raya, dua pelakon wanita termasuk watak utama dirasuk. Mujur ada seorang guru silat yang kebetulan berada di lokasi dan berjaya mengawal keadaan,” kata Chester.

Dalam satu lagi insiden, seorang kru produksi dilaporkan terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa dirinya seperti ‘ditarik’ oleh sesuatu makhluk.

Kejadian itu turut disaksikan oleh pelakon utama Syafie Naswip dan Namron sendiri.

Harapan Penonton Dapat Hargai Budaya Tempatan

Meskipun berdepan cabaran ketika penggambaran, Chester yakin Mantera membawa nafas baru dalam genre seram tanah air.

Chester turut berharap Mantera mampu mencetuskan fenomena serta menerima sambutan hangat di pawagam tempatan.

“Filem ini bukan hanya mahu menakutkan, tetapi mahu mengangkat ritual serta budaya yang semakin hilang ditelan zaman. Saya harap penonton dapat menghargai budaya tempatan yang kaya dengan warisan spiritual dan mistik,” katanya lagi.

SINOPSIS FILEM MANTERA

Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kelebihan spiritual dari keturunan Bobolian, dihantui gangguan roh jahat bernama Rogon Lupiah. Kejadian aneh dan kematian misteri membawa Tana menyelusuri sejarah nenek moyangnya, Ondiya, seorang Bobolian yang berkuasa. Bersama Inspektor Zafri, mereka mengungkap rahsia gelap dan berdepan pertempuran epik dengan kuasa jahat demi menyelamatkan mereka yang tersayang.

#KRU #Namron #Syafie #Naswip #Mantera #Gaung