Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

KRU Masih Berbisa! Konsert GenKRU Hiburkan Lebih 9,000 Penonton Di Axiata Arena

Asyraf Roslan 04/05/2025 | 01:25 MYT

Lebih 9,000 penonton membanjiri Axiata Arena Bukit Jalil untuk menyaksikan konsert GenKRU untuk hari pertama pada malam Sabtu.

Sorakan peminat mula bergema selepas KRU membuka pentas dengan lagu yang popular menerusi album Krumania iaitu Fanatik.

Menghargai setiap peminat yang hadir, Datuk Norman Abdul Halim meluahkan rasa syukur kerana dapat kembali bagi mengubati rindu peminat-peminatnya selepas tujuh tahun tidak menganjurkan konsert.

"Kami sangat-sangat bersyukur kerana menerima sokongan yang hebat daripada anda semua selama 33 tahun kami bekarya.

"Siapa sangka selepas 7 tahun kami boleh adakan konsert sekali lagi dan lebih penting dalam berskala besar," ujarnya.

Kumpulan KRU yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim telah menyampaikan lebih kurang 20 buah lagu popular mereka antaranya Dekat Pada Mu, Mengerti, Babe, The Way We jam, Jangan Lafazkannya, Oh! La La dan Vodoo yang merupakan lagu daripada album ke-15 mereka.

Lebih mengujakan penonton apabila KRU turut menampilkan barisan penyanyi yang pernah bekerjasama dengan mereka sepanjang berkarya di arena seni.

Adam AF tampil menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran manakala kumpulan Elite yang dianggotai oleh Abby Abadi, Azza, Watie, Shasha dan Linda Rafar menyampaikan lagu Di Pintu Syurga.
Konsert ini juga turut menampilkan kumpulan ahli kumpulan Nico dan Datuk AC Mizal sebagai cameo.
Tidak ketinggalan,KRU juga menyampaikan lagu Perpisahan Terasing yang merupakan tribute kepada penyanyi lagenda Malaysia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Konsert GenKru diadakan selama tiga hari iaitu pada 3,4 dan 10 Mei 2025 bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil.

Sekadar info, kali terakhir mereka mengadakan konsert besar adalah pada 2018 melalui Konsert GenerasiKRU25 di Istana Budaya.

#Konsert #Adam AF #KRU #Elite #GenKRU