Laman Utama
KRU Perkenalkan Wetland Studios Putrajaya, Syarikat Milik Selebriti Pertama Mengendalikan Taman Tema
Setelah berkecimpung dalam industri kreatif selama lebih 31 tahun dan melalui pelbagai fasa perniagaan, kini KRU mengembangkan sayapnya dengan memperkenalkan taman tema yang dinamakan sebagai Wetland Studios Putrajaya.
Wetland Studios Putrajaya merupakan kerjasama antara Perbadanan Putrajaya dan KRU Studios Sdn. Bhd. dimana KRU dilantik sebagai rakan kerjasama bagi pengoperasian Wetland Studios Putrajaya.
Terletak di Taman Wetland Putrajaya, iaitu ‘wetland’ air tawar buatan manusia terbesar di kawasan tropika, Wetland Studios Putrajaya merupakan sebuah taman tema didik-hibur dalaman (berhawa dingin) berteraskan teknologi melalui kerjasama strategik KRU bersama anak syarikatnya, Wetland Studios Sdn Bhd.
Wetland Studios Putrajaya menawarkan tarikan dan kandungan bertemakan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar selain menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya kepada masyarakat setempat, serta flora dan faunanya.
Melalui pengalaman hibrid secara maya dan fizikal, para pengunjung akan mendalami tentang sejarah bumi, peranan penting air serta ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, serangga, pokok, bunga dan lain-lain.
Pengalaman Immersive Reality di Wetland Studios Putrajaya merangkumi aset fizikal seperti animatronik, replika dan hiasan berkonsepkan alam semula jadi; teknologi seperti hologram, Augmented Reality (AR) serta Virtual Reality (VR); dan juga kandungan digital yang menampilkan pelbagai watak animasi termasuk Zan Orangutan (filem animasi terbitan KRU dan Astro Shaw yang bakal menemui penonton pada tahun 2024) dan KiKaKo Kids (kerjasama bersama Universal Music) yang kini didalam proses penerbitan sebagai siri televisyen.
Bagi fasa pertama (iaitu tempoh pra-pelancaran mulai 26hb Mei 2023 hingga 31hb Ogos 2023), 12 ruangan kini dibuka iaitu Insectopia, Dinosaur Encounter, Stegodon Big Break, Caventure, Jungle Jive, Sky Sanctuary, Flamingo Parade, Sky Dreams VR, Artopia, Aviary Archive, EduPlay Centre dan Migration in Motion.
Wetland Studios Putrajaya bakal dilancarkan secara rasminya pada bulan September 2023 dengan pembukaan kesemua 15 ruangan termasuk tarikan tambahan Panorama, Lakes & Rivers dan Majestic Ocean.
“Sememangnya kami menawarkan harga tiket serendah mungkin agar pengalaman di Wetland Studios Putrajaya dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat khususnya yang datang bersama keluarga.
“Kami berharap agar pengalaman ini akan memberikan maklumat berharga untuk kita menjaga alam sekitar dan pada masa yang sama meninggalkan memori indah dengan orang-orang yang tersayang” ujar Datuk Norman Abdul Halim, Presiden, Wetland Studios.
Pada Majlis Walkabout di Wetland Studios Putrajaya, rakan media diberikan lawatan berpandu khas oleh Wetland Rangers. Wetland Studios Putrajaya beroperasi dari 10 pagi hingga 7 petang, setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti awam.
Pengunjung boleh mendapatkan tiket di kaunter tiket Wetland Studios Putrajaya. Pembelian tiket dalam talian akan disediakan di laman sesawang www.wetlandstudios-putrajaya.com mulai 1hb Jun 2023.