Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Kru Terperangkap Tragedi Tanah Runtuh Di Pakistan, Jamal Khan Yakin Akira Khan Berbaloi Ditonton!

Amri Hassan
17/01/2023 05:42 MYT
Memilih lokasi penggambaran di Pakistan, pengarah drama rantaian baharu Akira Khan, Jamal Khan mahu mengangkat budaya penduduk di negara tersebut ke layar kaca.

Menerusi air tangan terbaharunya, Akira Khan yang menampilkan gandingan pasangan paling romantis Uqasha Senrose dan Kamal Adli itu bakal menemui penonton tidak lama lagi.

"Umum mengetahui jarang-jarang drama tempatan yang memilih lokasi penggambaran di Pakistan, jadi saya memilih untuk ke sana.

"Biarpun pada mulanya mahu ke Turki dan tempat penggambaran yang lebih selesa namun saya mahu membawakan budaya penduduk Pakistan itu sendiri.

"Terbukti kali ini lokasi dan budaya yang ditonjolkan dalam Akira Khan berbeza dan pasti lain daripada lain," katanya.

Dalam pada itu, Jamal mendedahkan berdepan beberapa cabaran sepanjang di negara terbabit.

Selain faktor cuaca yang berbeza, beberapa tragedi seperti tanah runtuh juga membataskan pergerakan kru produksi di sana.

"Ketika di sana sewaktu perjalanan pulang ke hotel dari lokasi, ada kejadian tanah runtuh. Jadi sebarang kenderaan tak dibenarkan melalui kawasan terbabit.

"Akibatnya kami terpaksa bermalam di hotel yang berlainan tanpa persediaan persalinan," ceritanya.

Sinopsis Akira Khan

Akira Khan menceritakan kisah seorang wanita Pakistan bernama Akira yang jatuh cinta dengan lelaki Melayu bernama Raden.

Disebabkan keturunan dan bangsa yang berbeza, cinta mereka terhalang dan terpaksa berkahwin secara rahsia. Namun mereka terpaksa berpisah atas masalah keluarga.

Raden telah ditimpa kemalangan di Malaysia dan telah menyebabkan dia hilang ingatan. Akira yang menanti suaminya di Hunza, Pakistan dan tidak dapat menghubungi Raden. Mereka berdua terpaksa melalui kesukaran bersendirian.

Beberapa tahun kemudian, mereka berjumpa kembali tapi malangnya Raden tidak mengenali Akira. Berbagai dugaan terpaksa mereka lalui, juga ada yang cuba untuk memisahkan mereka.

Dengan kesabaran Akira akhirnya ingatan Raden pulih kembali. Tetapi adakah mereka akan tetap bersama? Dan bolehkah mereka bersatu demi cinta mereka?

Akira Khan turut dibintangi Irfan Zaini, Julia Farhana, Idzham Ismail, Datin Maria Farida, Esma Daniel, Pushpa Narayan, Safura Ya’kob GV, Razman Mahayuddin (Hero Remaja) dan Saidah Kamarudin (Dewi Remaja).

Drama Akira Khan bakal ditayangkan bermula 18 Januari 2023 setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD.

#Uqasha Senrose #Kamal Adli #Pakistan #Akira Khan #Jamal Khan