Siri animasi tempatan karya Animonsta Studio (Monsta) berjudul Mechamato The Animated Series mendapat perhatian penonton.

Ini kerana kualiti animasinya sangat bagus sehingga ada yang melabelkannya sebaris dengan animasi luar negara.

Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana Monsta berjaya memperbaiki kualiti mereka untuk setiap karya yang dihasilkan.

Menurut Ketua Pegawai Kandungan Monsta, Anas Abdul Aziz, kualiti yang baik itu perlu untuk membawa dan memperkenalkan karya animasi ini sehingga ke pasaran antarabangsa.

“Kami di Monsta bila nak buat sesuatu animasi antara cabaran terbesar adalah orang punya jangkaan akan sentiasa naik.

“Lebih-lebih lagi sebelum ini kami telah muncul dengan BoBoiBoy yang mendapat sambutan ramai. Alhamdulillah.

“Jadi untuk mendapatkan sambutan yang bagus kita percaya yang kita patut push lagi kualiti dan secara tidak langsung ia juga membantu kita untuk mempromosikan kepada negara luar,” katanya kepada Gempak.

Bercerita mengenai proses kualiti, Anas memberitahu tidak terlalu rumit kerana pasukan mereka sudah mempunyai pengalaman sebelum ini.

“Jadi untuk nampak betul-betul stand out di pasaran global kita naikkan kualiti yang tinggi. Tidaklah terlalu rumit ini kerana mereka juga dah dibiasakan dengan filem sebelum ini contohnya Boboiboi Movie 2 yang kita buat dalam setahun.

“Jadi bila kita buat animasi Mechamato kita perbaiki lagi kualitinya supaya tidak jatuh dan makin cantik.

“Alhamdulillah kami punya pasukan pun sudah memiliki berpengalaman untuk mencapai satu kualiti yang tinggi,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaharu Monsta dengan kerjasama Cartoon Network membawa karya animasi ini melangkah lebih jauh sehingga ke pasaran antarabangsa.

Mechamato juga turut ditayangkan dibeberapa buah negara antaran Hong Kong, Taiwan, Australia, New Zealand, Korea dan Jepun.

Saksikan Mechamato The Animated Series di Cartoon Network (saluran 615 HD).

Kredit foto: Monsta