Pengarah tersohor Mamat Khalid mengakui berdepan pelbagai cabaran apabila ingin menghasilkan drama bersiri Kampong Pisang.

Menurutnya, antara cabaran terbesar yang dihadapi pasukannya adalah untuk menjadikan drama bersiri ini setanding kualiti filem.

“Filem Kampung Pisang sebelum ini dan drama bersiri Kampong Pisang ini tiada bezanya kerana niat abang nak terbitkan drama seperti mana abang buat filem.

“Bukanlah bila kata nak buat drama boleh cepat-cepat, kerja mudah dan sebagainya tetapi daripada awal lagi abang dah maklumkan pada team produksi dan pelakon, kita buat siri ini macam kita buat filem,” jelas Mamat ketika menjawab ditemubual menerusi rancangan TP Kampong Pisang.

Tambah Mamat lagi, walaupun banyak cabaran, dia merasa cukup puas dapat menghasilkan sebuah naskhah 12 episod ini setanding kualiti filem-filem khas untuk semua penonton.

“Pada abang, ia sangat memenatkan bila kita nak buat drama bersiri ini setanding kualiti filem. Bayangkan ada 12 siri, ibarat macam ada 12 filem.

“Perbezaan tu hanyalah dari segi durasi sahaja, manakala watak, kelakar dan seriusnya ia adalah di tahap sebuah filem.

“Tapi kita rasa berbaloi sebab kita nak tunjukkan pada penonton, mereka mampu menonton sebuah drama bersiri ini seperti mereka menonton filem,” ujarnya lagi.



Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bakal menemui penonton mulai 7 Disember ini, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).