BERITA

Kubur Allahyarham Zara Qairina Akan Digali Secepat Mungkin - Saifuddin Nasution

Gempak 09/08/2025 | 07:55 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir secepat mungkin bagi melengkapkan proses siasatan.’

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses itu dilakukan mengikut arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Jumaat.

"Memandangkan kita baru menerima arahan, jadi pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara dan kita akan melakukan proses gali kubur secepat mungkin.

"Sudah tentu kita akan fokus untuk mengemaskini siasatan selain mengumpul semua bukti. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan.

"Kita harus berlaku adil dengan semua sama ada arwah Zara, ahli keluarganya dan pihak sekolah termasuk guru. Keutamaan kita adalah untuk melaksanakan keadilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ijtima' MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, AGC mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

AGC menerusi satu kenyataan memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution memberi jaminan proses siasatan itu akan dilakukan segera dan pihaknya akan melaporkan perkembangan terbaru dari semasa ke semasa.

Ditanya sama ada jenazah Zara Qairina tidak dilakukan bedah siasat sebelum ini, Saifuddin Nasution enggan mengulas dan memaklumkan perkara itu biar urusan seterusnya dibuat dan beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

Sumber: BERITA HARIAN

#Gali Kubur #Zara Qairina #Saifuddin Nasution