BERITA
Kubur Nurly Shahirah Dipasang Tali Penghadang Elak Perbuatan Khurafat
Kubur Allahyarham Nurly Shahirah Azman yang terkorban dalam nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, dipasang penghadang oleh keluarganya bagi mengelakkan sebarang perbuatan khurafat yang dikhuatiri mencemarkan kesucian pusara.
Dua abang serta seorang waris Allahyarham bergotong-royong memasang tali penghadang itu kira-kira jam 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini pada Sabtu.
Menurut abang arwah, Mohd Najmuddin Azman, 28, pihak keluarga terpaksa mengambil tindakan memasang tali tersebut bagi mengelakkan perkara tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mengunjungi kawasan berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada semua yang mendoakan arwah, tetapi janganlah sampai berlaku perkara khurafat atau mengambil kesempatan atas nama arwah.
“Kami sekeluarga memasang penghadang ini bagi mengekang perbuatan tidak sihat dan sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak melangkaui batas ketika menziarahi kubur,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan berkenaan.
Selain memasang tali, mereka turut menanam pokok di atas pusara serta meletakkan batu kecil berwarna putih bagi menutupi kawasan tanah di kubur tersebut.
Jelas Mohd Najmuddin, rondaan juga akan dilakukan dari semasa ke semasa memandangkan ramai pengunjung tidak putus-putus menziarahi kubur arwah sejak hari pertama tragedi itu.
Sementara itu, menerusi satu hantaran di laman Facebook, seorang individu bernama Ahmad Nazrul mendakwa terdapat pengunjung yang bertindak mengambil tanah kubur untuk dibawa pulang.
Dalam hantaran tersebut, turut didakwa ada individu menyapu tanah kubur berkenaan ke muka anak mereka.
Katanya, tindakan memasang tali oleh ahli keluarga dilakukan bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa keluarga arwah tidak menerima kunjungan pengunjung dalam tempoh tiga hari bermula 2 hingga 5 Julai ini.
“Mohon maaf bagi yang telah menempah bas dan sebagainya, keputusan keluarga Nurly Shahirah adalah muktamad. Tidak menerima tetamu dari 2 hingga 5 Julai,” tulisnya.
Allahyarham Nurly Shahirah, 23, yang juga seorang hafizah al-Quran, meninggal dunia dalam nahas tragis membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI yang terbabas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Bas yang membawa 42 penumpang itu turut meragut nyawa 15 pelajar UPSI yang lain.
Sumber: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian