Penyanyi Bunga Isme memohon pertolongan orang ramai untuk membantunya mencari kucing peliharaan yang diberi nama Tatang selepas hilang pada hari Ahad.

Menurut Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari berkata kali terakhir Tatang dilihat adalah di sekitar Seri Kembangan.

"Sesiapa yang duduk berdekatan di Jalan Putra Permai 8F, Seri Kembangan, mohon pertolongan dari kalian kalau terjumpa kucing hilang saya, Tatang. Tolong sangat-sangat, saya tak ada dekat situ untuk cari kucing saya," tulisnya di Instagram (IG).

Hantaran itu disertakan poster gambar kucing berwarna oren dan putih yang tertera nombor untuk dihubungi bagi sesiapa yang mempunyai maklumat atau ternampak kucing berkenaan.

Tambah penyanyi rap berusia 21 tahun ini lagi, dia sudah berusaha mencari Tatang di merata tempat namun masih belum ditemui.

"Dah round taman berkali-kali, mummy cari awak kat celah longkang, lorong, semak samun, kene kejar dengan anjing, tanya kawan-kawan awak mana awak, masih tak nampak awak Tatang.

"Kalau ada orang jagakan awak, jagalah elok-elok dan pulangkan lah awak kat mummy. Balik lah Tatang, mummy tunggu awak ya," tulisnya lagi.

Dalam pada itu, pelantun lagu Bunga turut menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM500 kepada sesiapa yang menjumpai haiwan peliharaan itu.

A post shared by Noor Ayu Fatini @ Bunga (@bungaisme)