Laman Utama

Kudrat Semakin Lemah, Mata Makin Kabur...Pak Lan Tidak Berdaya Lagi Nak Berlakon

gempak
Fiza Kamarudin
25/09/2020
07:18 MYT
Sponsor Banner
Kudrat Semakin Lemah, Mata Makin Kabur...Pak Lan Tidak Berdaya Lagi Nak Berlakon
Kehadiran pelakon veteran Roslan Saleh atau lebih mesra dipanggil Pak Lan, menjadi perhatian apabila hadir dalam keadaan bertongkat dan perlu dipapah ke Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), baru-baru ini.
Semangat luar biasa Roslan mengatasi keadaan fizikalnya yang diliihat semakin lemah dan kudrat dimiliki pula tidak sekuat dulu.
Bagaimanapun, ia bukanlah halangan buat Roslan untuk hadir ke mesyuarat berkenaan dalam keadaan agak uzur.
Roslan kini tidak lagi berada dalam dunia lakonan tetapi tidak pernah melupakan bidang tersebut dan rakan-rakan seperjuangannya.
Dia juga tidak berhasrat untuk kembali ke pentas lakonan tetapi akan cuba menghadiri aktiviti yang melibatkan sahabat-sahabat seni duduk berkumpul.
"Tidak dinafikan, ada ketika terdetik juga rindu kerana bidang lakonan sudah sebati dalam diri saya. Justeru, apabila ada undangan menjayakan aktiviti yang boleh membuatkan kami berkumpul semula, saya akan usahakan untuk hadir.
“Lagipun dalam keadaan sekarang saya tidak terfikir akan kembali ke dunia lakonan walapun perasaan rindu itu ada.
"Tawaran juga masih ada, cuma saya menolaknya. Saya sudah tidak berdaya dalam keadaan sekarang. Nak bawa badan sendiri pun tak kuat, kudrat semakin lemah dan mata agak kabur, tak macam zaman muda dulu.
"Lagipun, saya bimbang jika terima tawaran diberikan, saya tak mampu memberikan mutu lakonan terbaik. Sebagai pengarah, sudah tentu mereka mahu pelakon memberikan komitmen tinggi terhadap kerja.
“Daripada saya menyusahkan banyak pihak, lebih baik saya menarik diri," katanya sambil memberitahu keputusan untuk bersara tidak dipengaruhi sesiapa.
Beberapa bulan lalu tular di media sosial mengenai pelakon filem Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan itu yang kini mencari rezeki dengan berniaga produk makanan secara kecil-kecilan.
Mengulas perkara itu, Roslan berkata, dia bersyukur perniagaan itu sedikit sebanyak dapat menampung kehidupannya sekeluarga.
"Saya bersama isteri dan dibantu anak kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual daging dendeng, sambal lado dan sambal hitam belimbing buluh yang dimasak sendiri di rumah. Selain itu, saya menjual produk lain seperti dodol dan bahulu.
"Alhamdulillah, sambutan dan permintaan diterima sangat baik. Biasanya, pelanggan akan telefon untuk tempahan," katanya teruja.
Sumber: BH Online
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live