Laman Utama
Kulit Album Terlalu Ringkas, Tuju Ada Alasan Tersendiri - “Cover Buat Sendiri, Edit Dalam Phone Guna Canva..”
Anggota kumpulan K-Clique, Tuju meluahkan emosi dan perjalanan dalam fasa-fasa yang sukar di dalam sebuah album solo pertama digital yang diberi judul Tuju Untuk Kamu 18/19.
Tuju atau nama Muhammad Azree Shah Awang Zamri, 26, memberitahu kesemua tujuh lagu di dalam album ini sangat berat sehingga dia mengambil keputusan untuk meringankan penghasilan kulit depan album.
Hanya dilatari dengan warna putih bersih dan tajuk album, ada segelintir peminat yang menggelarkan kulit album ini sebagai terlalu ringkas.
Namun bagi Tuju, kulit album tersebut adalah cetusan ideanya sendiri menggunakan telefon pintar dan sebuah aplikasi suntingan foto.
“Sebenarnya kulit album ni saya yang buat. Keseluruhan luar album juga saya yang cipta, di mana saya menggunakan phone saya sendiri di aplikasi Canva.
“Memang macam gitu je depan dia sebab saya dah tukar kulit album macam-macam, gambar itu, gambar ini, jadi saya pun mengambil keputusan untuk meringankan kulit album ini sebab isi-isi dalam album ini dah berat.
“Lagipun saya bersama pasukan Black Hat Cat bertanya tentang kulit album, saya tak mahu merumitkan keadaan. Saya cipta dan terus submit,” jelas Tuju kepada Gempak.
Tuju ditemui pada majlis pelancaran album Tuju Untuk Kamu 18/19 yang diadakan di The Paddock, Petaling Jaya pada Rabu.
Turut hadir sama bagi memberikan sokongan adalah isterinya yang juga penyanyi rap Loca B.
Ditanya mengenai ketidakpuasan hatinya mengenai kesilapan teknikal yang berlaku pada lagu dan kulit album setelah dimuat naik di platform digital, Tuju memaklumkan ada isu yang sudah tuntas dan ada yang belum diselesaikan lagi.
Difahamkan kulit album tersebut dikeluarkan ttidak lengkap dan tak seperti yang dirancang.
“Pada malam 31 Disember tu ada beberapa salah faham di antara kami di dalam pasukan, mereka keluarkan benda yang tak sepatutnya dan bukan seperti yang kita rancang.
“Tapi pada waktu tu alhamdulillah, masalah sudah diselesaikan dengan cantik. Mereka mencuba sehabis baik untuk memuaskan hati semua orang dan release album ini.
“Walaupun begitu saya masih belum berpuas hati, album ini di platform digital ada glitch dan saya harap sistem itu dapat membantu saya release lagu Embun dan berharap ia boleh diselesaikan dalam minggu ini juga,” katanya lagi.
Album yang mengandungi tujuh buah lagu seperti Matahari, Jiwa Pusing, Khayalan, Gelora, Tenaga, Embun dan Ambang ini sudah boleh didapati di semua platform digital bermula 31 Disember 2021.
Must-Watch Video