"Kulit Bergeser Kayu! Panas, Pedih & Sakit... Dah Macam Ayam Kena Sembelih" - Azizulhasni Awang

Amri Hassan
Disember 14, 2019 18:42 MYT
Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang tampil membuka cerita mengenai kemalangan yang dialaminya ketika bersaing di acara keirin Piala Dunia di Brisbane, Australia pagi Sabtu.
Jelas Azizulhasni, insiden yang berlaku di Velodrom Anna Meares itu ibarat ayam kena sembelih.
"Saya terseret jauh, mata dipejam, terasa kulit badan bergeseran dengan permukaan kayu, panass, pedih dan sakit.
"Situasi amat huru-hara, terdengar juga jeritan dari pelumba lain.
"Dalam hati saya hanya mampu menyebut nama Allah dan berdoa supaya tidak ada kayu mencucuk ke dalam tisu badan saya seperti kejadian pada tahun 2011 lalu.
"Apabila seretan sudah berhenti, saya mengerang kesakitan, tidak dapat bernafas hasil dari hentakkan jatuh dan juga di langgar oleh pelumba dari belakang saya pada kelajuan sekurang-kurangnya 70km/h.
"Saya dah macam ayam kene sembelih. Ramai orang mengelilingi saya, saya tidak dapat membuka mata.
"Tapi terdengar suara jurulatih John Beasley, beliau suruh saya baring, relax dan cuba bernafas," kongsinya menerusi entri di Instagram.
Kata Azizulhasni, dia kini masih dirawat di Hospital Princess Alexandra selepas menjalani pemeriksaan x-ray dan imbasan MRI.
Menceritakan semula detik mencemaskan ketika insiden terbabit, kejadian berlaku sebaik loceng dibunyikan tanda tinggal lagi pusingan akhir untuk ditamatkan.
"Saya cuba memecut kehadapan untuk memotong pelumba dari Poland (Krzysztof Maksel) yang berada dihadapan.
"Ketika cuba memotong, pelumba dari Jepun (Tomoyuki Kawabata) yang datang dari belakang juga cuba untuk memecut kehadapan dan memancung saya ke dalam mengakibatkan saya terhimpit dengan pelumba dari Poland dan terus mencium permukaan velodrom bersama beberapa pelumba yang lain," ujarnya.
#Kemalangan #Azizulhasni Awang #Azizulhasni Awang #Lumba Basikal