Kumpulan Cham Panik Dengar Loceng MLM 2016
05/02/2016 04:23 MYT
Kumpulan Cham yang dianggotai oleh Along dan Azrul akui perlu perbaiki persembahan mereka di pentas Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).
Walau bagaimanapun menurut Along, dia tidak meletakkan harapan tinggi mengenai perkara tersebut memandangkan sudah lapan tahun kumpulan Cham menyepikan diri.
“Ini adalah pertama kali kumpulan Cham beraksi di pentas MLM selepas lapan tahun tidak bergandingan. Tiada persembahan luar atau private yang kami pernah jayakan sebelum ini.
“Nak kata persembahan kami bagus tidak juga, tetapi untuk permulaan kami cuba lakukan yang terbaik,” kata Along kepada Astro Gempak.
Sementara itu Azrul berkata, Cham cuba menghidupkan kembali signature persembahan mereka iaitu lawak melibatkan‘Social Criticized’.
“Minggu pertama kami masih tak tahu apa yang peminat dan penonton mahu. Jadi kami cuba hidupkan kembali singnature kami, ‘Social Criticized’.
“Terutamanya kepada mereka yang masih belum mengenali kumpulan Cham. Ada penonton yang faham dan ada yang sebaliknya. Mungkin juga persembahan kami terlalu tergesa-gesa,” katanya.
Selain itu, Along memberitahu mereka panik apabila loceng amaran persembahan dibunyikan di MLM 2016.
“Bunyi loceng sewaktu persembahan buat kami panik kerana persembahan belum habis. Persembahan jadi tergesa-gesa walaupun saya ada tiga tahun pengalaman di pentas MLM. Masa yang kami ada terlalu terhad sedangkan masa latihan rasa dah cukup perfect.
“Mungkin saya dan Azrul kena padatkan lagi lawak untuk minggu kedua. Sebab bila Datuk AC Mizal dah masuk pentas kami memang tidak boleh buat apa-apa dah,” ujarnya.
Teks Oleh: Khalid Rahman