Kumpulan Madam gembira kerana single terbaru mereka berjudul Musnah mendapat sambutan hangat dari para peminat.

Meskipun begitu, menurut vokalisnya Putera, mereka tidak lari dari tekanan memandangkan masih baru membina nama dan pandemik COVID-19 belum berakhir.

"Alhamdulillah, kami gembira kerana single Musnah mendapat sambutan positif dari para pendengar.

"Namun pada masa sama, tak dinafikan kadang-kadang rasa stress kerana banyak perkara yang terbatas ketika pandemik ini. Kami masih baru dan belum berpeluang mengenali peminat secara berdepan, semua yang dilakukan hanyalah menerusi platform media sosial.

"Perkara inilah yang kami sering bincangkan, meskipun sudah terbiasa dengan situasi pandemik sejak penubuhan Madam setahun lalu, kami tidak sabar menanti semua ini berakhir agar dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya kepada Gempak.

Putera berkata demikian dalam sidang media virtual sempena mempromosikan single Musnah pada Khamis.

Dalam pada itu, pemain dram Madam, Herman mengakui Putera adalah salah satu daya tarikan kumpulan mereka.

"Single Musnah adalah kerjasama antara Rocketfuel Entertainment dengan Joox dan dilancarkan lima bulan lalu.

"Kerjasama ini boleh dikatakan berjaya apabila lagu ini mendapat jumlah penstriman yang tinggi dan kini kembali diperkatakan. Mungkin lagu dan muzik yang kami ketengahkan kena dengan minat pendengar.

"Selain itu, ramai juga yang suka dengan suara Putera, kami rasa beruntung kerana dia ada bersama kami dalam kumpulan ini," jelasnya.

Madam merupakan akronim untuk 'Men of Another Day Another Music' dan memilih genre rock sebagai identiti mereka.

Lagu Musnah hasil ciptaan Amy Bong dan Zimi Sofazr adalah single keempat kumpulan ini.