Pelakon senior Kuna Muzani, 50, akui ada segelintir pelakon baharu yang menjadikan lokasi penggambaran sebagai tempat untuk belajar berlakon.

Menurut Kuna atau nama sebenarnya Tengku Sarina Tengku Muzani berkata pendatang baru ini sepatutnya ada inisiatif untuk menyertai kelas lakonan sebelum melangkah masuk.

"Sekarang ini kita pilih pelakon bukan berdasarkan bakat tetapi disebabkan populariti. Kerja pengarah bukan setakat nak sebut action dan cut ja, banyak lagi tugas lain.

"Sebagai pelakon baru, tanggungjawabnya adalah pergi belajar kalau dah tau tak pandai. Buat la short course dengan ibu Fauziah Nawi ka.

"Cuba untuk memahami karakter dan apa yang skrip nak. Sekurang-kurangnya dah ada background, jadi bila orang lain explain, pelakon itu dah faham. Ini bila orang kata konti, dia tanya balik konti tu apa?" katanya ketika majlis pelancaran pakaian jenama 9 Generasi rekaan Azirun Ramly, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe menyatakan tidak perlu ada perasaan malu dalam diri untuk bertanya kepada yang lebih berpengalaman.

"Saya pun bukan hebat berlakon dan setiap kali dapat skrip akan fikir bagaimana nak bawa watak. Kadang-kadang kita tak tahu apa kehendak pengarah.

"Jika tak faham, saya tak malu bertanya kepada pengarah. Ia perlu untuk mendapatkan hasil yang terbaik," katanya lagi.