Hiburan
Kuntilanak Hilang Arah! – Mampukah Filem Ini Merasuk Anda? Ini Ulasan ‘Jujur’ Kami
Jika anda penggemar filem seram, filem Kuntilanak 2 yang baru memasuki pawagam Malaysia seharusnya diletakkan dalam senarai harus tonton.
Menilai daripada trailernya sahaja, membuatkan filem ini antara yang berjaya menarik perhatian.
Filem arahan Rizal Mantovani ini menampilkan pelakon handal seperti Nena Rosier, Karina Suwandi, Maxime Bouttier serta pelakon cilik Ali Fikry, Andryan Sulaiman Bima, Sandrinna Michelle, Ciara Nadine Brosnan dan ramai lagi.
Mempertaruhkan naskhah balas dendam kesumat hantu terkenal Indonesia, adakah cerita ini setara dengan filem hantu terkenal lain seperti mak lampir, sundel bolong mahupun pocong?
Berkesempatan menonton filem ini minggu lalu, penulis simpulkan beberapa ulasan jujur yang anda perlu beri perhatian sebelum melangkah masuk ke dalam pawagam.
1. Jalan Cerita
Perjalanan cerita hantu hampir semuanya klise. Sama ada sekumpulan remaja yang degil memasuki rumah berhantu ataupun mereka terambil sesuatu barang yang berpenunggu.
Sama juga dengan filem ini, Kuntilanak 2 menceritakan sekumpulan kanak-kanak yang sengaja datang ke rumah terpencil di dalam hutan dan mahu mencari ibunya yang sengaja meninggalkannya semasa lahir di sebuah rumah anak yatim.
Dari segi jalan cerita, ia meyakinkan apabila hantu kuntilanak datang untuk menuntut dendam keturunannya.
Menjadi perebutan antata alam realiti dan fantasi dunia kuntilanak, pasti ada di antara penonton yang akan keliru apa yang dimahukan oleh hantu tersebut.
Ada beberapa babak yang lemah sehingga membuatkan filem berdurasi satu jam 40 minit ini terasa lama nak sampai ke penghujung.
2. Barisan Pelakon
Kalau anda pernah menonton sinetron Bawang Putih Bawang Merah suatu ketika dahulu, pasti anda mahu menyaksikan lakonan Puteri Cahaya yang membawakan watak sebagai ibu Donna yang menjaga anak-anak yatim piatu.
Pujian harus diberikan kepada pelakon yang membawakan watak kuntilanak, Karina Suwandi.
Wajahnya yang sememangnya punya ‘attitude’ ditambah gaya solekan seram, boleh membuatkan anda terkedu hanya dengan lirikan matanya.
Bagi pelakon cilik, lakonan mereka tidak kurang juga hebat. Dinda, Kresna, Miko, Panji dan Ambar merupakan lima sahabat yang membesar bersama.
Keakraban mereka mencuit hati dan boleh dikatakan antara penghibur di dalam filem ini.
3. Faktor Ketakutan
Sukan untuk penulis mencari factor ketakutan dalam filem ini. Pada permulaan cerita, ia sangat meyakinkan. Kemunculan kuntilanak yang ingin membalas dendam, memberikan harapan untuk penulis bersangka baik terhadap filem ini.
Namun, babak demi babak, penonton dihidangkan dengan seram ‘ala kadar’ dan hampir ‘tidak logik’.
Biarpun bergenre seram fantasi, elemen fantasi yang digunakan tidak cukup kuat untuk membawa filem ini sebaris filem Hollywood dengan genre yang sama.
Karina yang membawakan watak Karmila berjaya mewujudkan elemen misteri. Namun selebihnya, anda akan berasa hampir tergelak kecil melihat aksi takut mereka yang keterlaluan walaupun hantunya tidaklah seseram mana.
4. Sinematografi
Antara elemen yang boleh dipuji, filem ini memaparkan sinematografi yang baik dan cantik. Paparan kameranya menyenangkan dan tidak serabut hingga menyesakkan minda.
Elemen seni budaya Indonesia juga ditonjolkan dengan baik menerusi elemen wayang kulit dan dekorasi susun atur rumah Karmila yang seperti rumah tradisional negara itu.
‘Kuntilanak 2’ akan mula berada di pawagam berhampiran anda bermula hari ini.