Mula menjalinkan hubungan cinta pada pertengahan tahun lalu, pelakon Yuna Rahim sah bergelar isteri kepada pasangannya iaitu Muhammad Nurakmal dengan sekali lafaz pada Sabtu.

Pada majlis diadakan di hotel di Mutiara Damansara, Yuna dinikahkan oleh bapanya, Abdul Rahim Awang dengan disaksikan Imam Masjid Mahmudiyyah Kayu Ara, Muhamad Nazmi Abd Samad.

Yuna yang ditemui media selepas selamat bergelar isteri, bersyukur segala perancangan untuk hari bahagianya berjalan dengan lancar.

“Saya gembira dan bersyukur semuanya berjalan seperti apa yang dirancang. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan majlis impian saya selama ini, terutama keluarga kedua-dua pihak.

“Untuk majlis resepsi pula, kemungkinan akan diadakan selepas sambutan hari raya Aidilfitri nanti. Tarikh akan dimaklumkan kelak,” katanya menerusi laporan Utusan.

Pada acara pernikahan itu, Yuna, 27, menerima mas kahwin RM300 berserta lima dulang hantaran, berbalas tujuh untuk pengantin lelaki.

Majlis akad nikah bertemakan rona putih itu dihadiri 100 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Majlis tersebut turut dihadiri rakan selebriti seperti Fatin Afeeda dan suami, Intan Najuwa, Datin Nina Juren, Wanna Ali, Sharifah Shahora dan Wans Ahmad.

Untuk info, Yuna mula menjalin hubungan cinta dengan Nurakmal pada pertengahan tahun lalu, seterusnya mengikat tali pertunangan pada September lalu.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.