Penyanyi Andi Bernadee menjawab dakwaan kononnya kurang melakukan promosi untuk sebuah jenama pakaian sempena Aidilfitri.

Menurut Andi semua isi kandungan di akaun Instagram (IG)nya telah diaturkan mengikut masa yang telah ditetapkan.

"Segala yang dikemaskini di ruangan Instagram saya semuanya sudah diaturkan. Pukul berapa dan apa kandungan yang akan dikongsikan.

"Bukan saya kurang untuk melakukan promosi tetapi dalam masa seminggu itu saya pulang ke Sabah jadi ketika itu saya 'offday'.

"Ayah saya baru keluar dari hospital akibat serangan sakit jantung jadi ketika ini baru saya mempunyai masa untuk kembali membuat promosi," katanya kepada Gempak.

Andi ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim yang diadakan di Hotel Royal Kuala Lumpur semalam.

Tambah pelantun lagu Donde itu, tiada masalah antara dia dan pihak terbabit.

"Saya bersama sebelah pihak lagi tidak mempunyai sebarang masalah.

"Saya baru sahaja berjumpa dengan mereka dan tiada permasalahan timbul cuma salah faham sahaja," katanya lagi.