Pelakon asal Singapura, Shah Iskandar mengakui kurang mengambil tawaran untuk menjayakan watak hero.

Baru sahaja muncul dengan drama bersiri Mr Grey, Shah tidak kisah untuk memegang watak pembantu atau watak kecil asalkan karakter yang dijayakan memberi impak kepada penonton.

"Saya pernah membawa pelbagai watak, baik watak utama, watak cameo, watak pembantu dan sebagainya. Di usia sekarang, saya tak kisah untuk menjayakan watak 'second lead' atau pembantu, asalkan watak itu mencabar.

"Apa yang penting adalah karakter dibawakan, sama ada ia memberi impak atau pun tidak. Saya mahu menjayakan watak yang meninggalkan kesan di hati penonton," kata Shah.

Sering membawa watak antagonis, Shah mengakui dirinya selesa dengan watak tersebut.

"Saya rasa makin selesa untuk menjayakan watak jahat yang kurang digemari penonton. Watak tersebut mencabar dan dapat mewarnai portfolio saya sebagai pelakon," kata Shah ketika ditemui di majlis L'oreal Luxe The 4 Elements di Hotel Grand Hyatt KL baru-baru ini.

Majlis tersebut memperkenalkan empat produk terbaru jenama Lancome, Biotherm dan Giogio Armani.

Selain Shah, selebriti lain yang turut menghadiri acara tersebut ialah Adeline Tsen, Ramona Zamzam, Ryzal Jaafar, Nazeera Sardi, Ainul Aishah, Ruhainies dan ramai lagi.

Teks: Kamaruddin Razal