Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kurangkan Plastik Bungkus, Adun Lancar Kempen Pergi Kedai Bawa Gelas Sendiri

Amri Hassan
21/09/2022 05:46 MYT
"Plastik ini pakai petroleum yang banyak untuk kita buat plastik," demikian kata anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang sekali gus melancarkan kempen bawa sendiri bekas minuman bagi mengurangkan penggunaan plastik bungkus sekali guna.

Tambah Rajiv, penggunaan plastik bungkus sekali guna itu tidak mesra alam semulajadi dan boleh menjejaskan ekosistem alam.

"Jadi memang tak mesra kepada perubahan iklim kalau kita nak pakai plastik," ujarnya.

Justeru, Rajiv bekerjasama dengan beberapa peniaga di beberapa tempat di Petaling Jaya memperkenalkan jualan gelas dengan harga RM10.

Bagaimanapun bagi setiap pembelian, pengguna akan diberikan kad diskaun RM10, yang memberikan diskaun RM1 setiap pembelian dan boleh digunakan sepuluh kali.

Justeru, katanya, gelas itu seolah-olah diberi percuma.

"Beli cawan RM10 dapat percuma (kad diskaun) RM10," katanya dalam sidang media di salah sebuah gerai yang mengambil bahagian.

Buat masa ini, katanya, terdapat lapan gerai mengambil bahagian.

Sementara itu, pengusaha gerai Norlela Harun, 46, berkata dia mengikuti program itu kerana ia idea yang bagus.

"Tak apalah kalau kita mencuba (jayakan kempen ini)," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan program itu terletak pada tangan pelanggan.

"Berjaya tak berjaya terletak pada pelanggan, kita boleh mencuba saja," katanya yang sudah 37 tahun berniaga di situ.

Sumber: Malaysiakini

#Viral #Plastik #Peniaga #ADUN #Bukit Gasing #Gelas #Petroleum #Rajiv Rishyakaran
;