BERITA

KWSP Umum Dividen 6.3 Peratus Bagi Simpanan Konvensional Dan Shariah

Gempak 01/03/2025 | 05:25 MYT

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, angka berkenaan membabitkan agihan berjumlah RM73.24 bilion.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat prestasi kewangan KWSP 2024 di sini pada Sabtu.

Penganalisis dan pakar ekonomi sebelum ini meramalkan KWSP akan mengumumkan kadar dividen bagi 2024 dalam julat 6.0 hingga 6.2 peratus didorong oleh keadaan ekonomi global serta domestik yang memberangsangkan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan terdahulu turut menjangkakan KWSP bakal memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya daripada prestasi memberangsangkan KWSP pada suku ketiga tahun lalu.

Katanya, berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024 berkenaan, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik bagi tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Untuk rekod, KWSP mengisytiharkan dividen pada kadar 5.50 peratus pada 2023 bagi Simpanan Konvensional berbanding 5.35 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.

Bagi Simpanan Shariah, 5.40 peratus kadar dividen direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.

KWSP kini mempunyai kira-kira 16 juta ahli dengan lebih 8.5 juta daripadanya adalah pencarum aktif.

Sumber: Sinar Harian

#Umum #KWSP #Simpanan