Sejak viralnya kisah pelajar yang memanjat pokok untuk mendapatkan internet, orang ramai dilihat mula sedar tentang permasalahan liputan di kawasan pedalaman.

Malah, pendedahan dilakukan oleh pelajar, Veveonah Mosibin menerusi YouTube itu telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk daripada Telekom Malaysia.

BACA : Kesiannya...Pelajar Ini Terpaksa Panjat Pokok, Dapatkan Internet Untuk Jawab Exam!

Namun itu mungkin sebahagian saja yang didedahkan di media sosial.

Buktinya selang selepas seminggu kisah Veveonah viral, muncul lagi situasi yang hampir serupa.

Namun, kali ini ia berlaku di Pakan, Sarawak.

Menerusi satu posting yang sedang viral, seorang mahasiswi dilihat terpaksa melakukan persiapan pembelajaran di dalam hutan berhampiran tempatnya menoreh getah.

Difahamkan, kawasan berkenaan mempunyai capaian internet lebih bagus daripada kediamannya di rumah panjang.

Anda boleh lihat posting berkenaan di bawah.

Seperti kisah viral sebelum ini, situasi pelajar berkenaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa dan kali ini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menerusi satu kenyataan, SKMM berkata, pihaknya akan membuat tinjauan di sebuah perkampungan di Pakan, Sarawak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah pelajar dan penduduk di situ yang terpaksa keluar jauh daripada kediaman mereka bagi mendapatkan liputan perkhidmatan komunikasi.

Jelas kenyataan tersebut, hasil tinjauan akan dipadankan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang telah dirancang untuk kawasan terbabit bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti, sekali gus memperbaiki taraf kehidupan penduduk.

"SKMM sedar masih terdapat banyak kawasan yang belum mendapat liputan komunikasi menyeluruh dan stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

"Selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan laluan masuk yang sukar, masalah ketiadaan bekalan elektrik juga menjadi cabaran kepada SKMM dan syarikat telekomunikasi untuk membina menara di kawasan pedalaman,” kata kenyataan tersebut.