Hiburan

Lagi Sekali Jadi ‘Dang Anum’, Ain Sufia Sentiasa Amalkan Doa Sebelum Jiwai Watak - “Itu Yang Buatkan Saya Sangat Takut…”

gempak
Asyikin Mayudin
26/08/2024
12:55 MYT
Sponsor Banner
Lagi Sekali Jadi ‘Dang Anum’, Ain Sufia Sentiasa Amalkan Doa Sebelum Jiwai Watak - “Itu Yang Buatkan Saya Sangat Takut…”
Sekali lagi diberi tanggungjawab membawa watak sebagai Dang Anum dalam teater ‘Dang Anum (The Untold Story), pelakon Ain Sufia berkata dia mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjiwai karakter tersebut.

Bimbang karakter 'makan diri'

Menurut Ain, dia tidak mahu karakter tersebut ‘makan dirinya’ dan terbawa-bawa ke dalam kehidupannya buat selama-lamanya.

“Saya ambil pengajaran untuk berjaga-jaga kali ini. Sebelum berlakon saya akan berdoa. Sebab pernah terjadi kepada orang dahulu iaitu apabila dia melakonkan sesuatu watak itu kemudian terbawa-bawa dalam kehidupannya sehingga habis hayat.

“Jadi saya tak nak berlaku begitu. Walaupun latihan, kita akan hari-hari bercakap. Itu yang membuatkan saya sangat takut untuk kali ini,” kata Ain kepada Gempak

Amalkan Doa

Berikutan itu, pelakon berusia 36 tahun tersebut mengambil pendekatan dengan mengamalkan doa sebelum membuat persembahan selain menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

“Setiap kali latihan ataupun persembahan saya akan berdoa, ‘Ya Allah ya tuhan ku, Alhamdulillah, Kau kurniakan bakat ini untuk aku bekerja tetapi pisahkanlah ia dengan kehidupan peribadi.’

“Sepanjang di dalam kereta dan bersendirian, saya berdoa, ‘Ya Allah, aku jadi watak Dang Anum ini hanya untuk berlakon sahaja, habis latihan dan persembahan, aku adalah diri aku.’
Ketika pergi dan balik daripada latihan, saya akan ambil masa 10 minit untuk berdoa,” ujarnya.

Jadi realiti

Dalam pada itu, bekas peserta Bintang Mencari Bintang itu mengakuinya dia berada sedikit bimbang jika perkara yang sama berlaku kepada watak tersebut menjadi realiti dalam kehidupannya.
“Orang ini (Dang Anum) dia wujud dan pernah hidup. Saya takut ia akan memakan diri dengan kisah itu juga. Dang Anum ada masalah dengan pembesar dan mengalami sakit ketika bersalin, jadi saya takut sangat serta tak mahu hal yang sama berlaku kepada diri sendiri.
“Saya akan selalu beristighfar,” katanya.

Perbezaan umur

Berkongsi mengenai teater tersebut, Ain memberitahu antara cabaran yang perlu dihadapinya adalah berlakon dengan pendatang baharu yang mempunyai perbezaan umur di antara mereka.

“Kekok juga, tapi kena profesional. Mereka takut-takut tapi saya faham mereka sebenarnya menghormati kami. Watak ini saya pernah bawa tahun lalu jadi untuk kali ini saya hanya perlu menambah baik.

“Penambahbaikkan tersebut hampir 40% daripada pementasan tahun lalu,” ujarnya.
Teater Dang Anum (The Untold Story) adalah projek pementasan teater melalui GSSK di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
Selain Ain, teater ini bakal menampilkan barisan pelakon seperti, Along Eyzendy, Adam Shahz, Ain, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin dan Karl Dannish.
Tiket akan mula dijual pada 25 Ogos 2024, dengan harga antara RM25 hingga RM65.
Untuk maklumat lanjut ikuti laman sosial The Redholah di Instagram, Facebook, dan TikTok, atau hubungi di talian 014-3685233 atau e-mel ke [email protected].
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live