Pengarah muzik, Datuk Mokhzani Ismail yang bertindak selaku ketua juri Separuh Akhir Muzik Muzik 33 menjelaskan 12 lagu yang dipilih ke peringkat Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) telah dinilai dan diberi peluang secara adil.

"30 buah lagu yang tersenarai di peringkat separuh akhir manakala hanya 12 sahaja yang mara ke pentas akhir. Pemilihan telah dilakukan secara adil melihat dari segenap aspek.

"Saya mewakili semua juri di peringkat separuh akhir berpuas hati dengan 12 buah lagu yang menjadi finalis AJL33," katanya.

Selain Mokhzani, komposer dan penerbit muzik berpengalaman seperti Helen Yap, Cat Farish, Ajai, Edrie Hashim dan Azmeer turut berada di kerusi juri.

Dalam pada itu, Mokhzani menjelaskan yang vokal serta penyampaian lagu berentak balada antara elemen yang diberikan perhatian.

"Melihat senarai 30 lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir, lagu genre balada terlalu banyak. Jika dilihat di peringkat AJL33, hanya empat lagu balada sahaja yang layak.

"Bila lagu balada terlalu banyak, pihak juri harus melakukan penilaian dengan cermat dan memilih lagu yang benar-benar layak.

"Lagu dinilai secara keseluruhan... Melodi, kreativiti, kualiti vokal dan banyak lagi aspek. Lagu balada sangat susah untuk disampaikan kerana melodi menjadi kayu ukur bagi sesebuah lagu balada.

"Jika sesebuah lagu itu mengandungi melodi yang baik, ia akan menghasilkan sebuah lagu balada yang baik.

"Penyanyi yang baik dapat menjiwai dan menyampaikan mesej lagu itu kepada pendengar," katanya lagi.

AJL33 bakal berlangsung pada 3 Februari 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Foto: Instagram Muzik Muzik 33 / @badrulazhar_