Kemampuan dan kehebatan vokal penyanyi Vanessa Reynauld tidak disangkal lagi . Setiap kali menyampaikan lagu balada bernada tinggi, Vanessa antara pendatang baru yang mampu memukau pendengar dengan nyanyiannya.

Namun begitu, Vanessa tercabar apabila menyanyikan lagu barunya berjudul Buat Ku Sempurna ciptaan penuh oleh Faizal Tahir dan Mage.

Hakikatnya, pengalaman menyanyikan lagu itu membuatkan dia tersentak bahawa banyak lagi yang harus diasah untuk menjadi penyanyi genre balada unggul.

Hal terbabit diakuinya selepas menempuh sendiri pengalaman melunaskan lagu yang baginya sarat mendalam komposisinya itu. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa dia akan bergelut dan berlatih banyak kali untuk menyempurnakan sebuah lagu.

“Sebenarnya bila dengar nyanyian demo Faizal untuk lagu ini, nyanyiannya kedengaran begitu senang. Tetapi, apabila giliran saya untuk menyanyikannya, sangat susah! Lagu ini ada turun naik dan sangat teknikal.

“Daripada suara dada kepada suara kepala, tiba-tiba tukar sana sini. Lagu ini sangat susah sebenarnya, dari segi pernafasan adalah paling penting. Saya turut berdepan kesukaran untuk menyuntik ‘feel’ terbaik kerana perlu menitikberatkan teknik, perasaan, memang agak sulit pada mulanya," katanya.

Namun menurut Vanessa, setelah berlatih banyak kali, dia akhirnya dapat menguasai lagu tersebut.

“Selepas berlatih banyak kali, barulah saya dapat rentak itu. Akhirnya dapat juga kami rakamkannya sebagaimana yang kami mahukan. Secara peribadi, lagu ini agak asing untuk saya dan berbeza dengan lagu-lagu terdahulu atau lagu yang dibawakan dalam pertandingan," katanya lagi.

Keputusan menyanyikan Buat Ku Sempurna dibuat pantas oleh Vanessa tanpa sebarang keraguan. Dia akui tidak perlu mendengar berulang kali kerana terus sukakannya, melodi dan struktur lagu itu pun sangat unik.

“Bila mendengarnya, saya memang nak sangat menyanyi lagu ini tanpa wujud sebutir keraguan. Lagu ini mengisahkan seseorang yang berada dalam sebuah perhubungan dan dia sudah melakukan kesilapan.

“Pasangannya tidak dapat memaafkannya kerana kesilapan itu terlalu besar. Maka, mereka tidak mampu kembali kepada corak hidup terdahulu sebelum kesilapan itu berlaku. Memang agak mendalam juga lagu ini,” jelasnya.

Kata Vanessa, dia harus keluar dari kepompong cara yang telah menjadi kebiasaan dalam nyanyiannya sebelum ini.

“Lagu ini berat kepada saluran emosi dan penyampaiannya harus dilakukan dengan penuh kelembutan. Itu yang sebenarnya menjadi cabaran besar buat saya kerana sebelum ini, saya buka mulut menyanyi saja, terus tembak pada nota tinggi. Untuk lagu ini, pengawalan perlu berhati-hati dan jaga rapi transisi suara.

“Semestinya besar harapan saya semoga ramai akan suka dan menerima lagu ini dengan hati terbuka. Paling penting, semoga keseluruhan lagu mampu berkait dengan kisah orang ramai. Kita semua pasti pernah menempuh pengalaman berbeza mengenai kehidupan. Saya harap sangat ia mampu sampai ke dalam hati dan menyentuh sanubari pendengar,” katanya menutup bicara.

Vanessa yang cukup terkenal selepas menyertai program The Masked Singer Malaysia (TMSM) sebelum ini, turut menjadi salah seorang daripada barisan juri All Together Now Malaysia (ATNM) musim pertama.

Memiliki vokal yang sememangnya cukup hebat, Vanessa sudah menghasilkan beberapa lagu termasuk Putus dan Rindu Separuh Nyawa duet bersama Naqiu.

Pencapaian lagu Rindu Separuh Nyawa itu jelas membanggakan apabila berjaya lolos ke Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36). Dalam tempoh tiga bulan, lagu ini telah mencapai platinum dari hasil jualan strim digital selain drama Rindu Separuh Nyawa yang menggunakan lagu itu sebagai runut bunyi, berjaya mengungguli carta drama 2021.

Selain itu, nama Vanessa juga telah mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila foto dirinya terpampang di bangunan Times Square, Kota New York baru-baru ini untuk kempen Equal daripada Spotify.

‘Buat Ku Sempurna’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.