Juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana teruja untuk berkongsi lagu terbaharu ciptaannya sendiri berjudul Hatiku Milikmu.

Kata penyanyi yang lebih mesra disapa Nana itu, rentak lagu Hatiku Milikmu tidak terlalu 'leman' dan tidak terlalu moden.

"Saya mahu hasilkan lagu yang boleh diterima oleh peminat saya. Tidak terlalu leman takut ketinggalan zaman dan tidak pula terlalu moden takut peminat tak boleh ikut.

"Jadi, saya cipta lagu ini 'tengah-tengah'.

"Jujur saya katakan lagu kedua ciptaan saya ini lebih mudah untuk disiapkan berbanding Terus Mencintai. Tiga bulan saja sudah siap," katanya kepada Astro Gempak.

Nana yang ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah MeleTOP Era (AME2018) menambah, muzik video lagu Hatiku Milikmu itu akan dilancarkan bersama pada April depan.

Sementara itu, menerusi AME2018, Nana tercalon dalam kategori Penyanyi MeleTOP dicabar oleh empat calon lain iaitu Ayda Jebat, Hael Husaini, Haqiem Rusli dan Khai Bahar.

Selain itu, nama Nana turut tersenarai dalam kategori Pelakon TV MeleTOP bersama Fattah Amin, Neelofa, Syafiq Kyle dan Zul Ariffin.

Dalam kategori Hos MeleTOP pula, Nana bakal bersaing dengan Alif Satar, Datuk AC Mizal, Jihan Muse dan Nabil Ahmad.

Undian fasa kedua ini boleh dibuat menerusi laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my, aplikasi ERA dan RAKU serta melalui kiriman SMS bermula 6 Mac 2018, jam 6.00 petang hingga 8 April 2018 jam 12.00 tengah hari.

Teks oleh: Amri Hassan