Pempengaruh yang beradal dari Sabah, Adam Shamil Misran, 29, kini muncul dengan single terbaharu berjudul ‘Bantu’.

Menurut Adam, lirik ‘Bantu’ menjurus tentang hal menghargai dan menyantuni tentang pengorbanan seseorang dalam apa jua perihal kehidupan baik dalam susah mahupun senang.

“Ini adalah karya indah yang didedikasikan untuk seseorang yang sentiasa bersama kita tidak kita dalam apa jua situasi.

“Saya mendedikasikan lagu ini kepada ibu saya yang merupakan ibu tunggal dan juga nenek saya. Kedua-duanya adalah sumber kekuatan saya dan saya tidak akan berada di tempat ini tanpa bimbingan mereka.

“Melalui single ‘Bantu’ ini juga, mesej yang ingin disampaikan diharap dapat memberi manfaat seterusnya meninggalkan kesan yang positif kepada orang ramai.

“Saya juga ingin memberi motivasi kepada para pendengar bahawa dalam kita mengejar cita-cita, jangan pernah kita lupa akan mereka yang teguh bersama dengan kita sejak dari kita memulakan langkah yang pertama itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adam juga berharap agar ‘Bantu’ dapat diterima baik oleh pendengar selain melahirkan rasa syukur kepada semua pengikut dan peminatnya yang tidak pernah jemu menjadi penyokong setia dari awal.

“Harapan saya agar single ini mendapat sambutan yang baik dari semua. Saya turut mengucapakan jutaan terima kasih kepada semua followers serta peminat yang tidak pernah jemu menjadi penyokong setia saya dari awal kemuculan saya sebagai pempengaruh digital sehinggalah bergelar penyanyi sekarang,” ujarnya.

‘Bantu’ merupakan hasil kolaborasi bersama Darien, Shazriq Azeman, Omar K dan Adam sendiri.

Single ‘Bantu’ serta muzik video ini diterbitkan sepenuhnya oleh World Peace Entertainment Sdn. Bhd.

‘Bantu’ merupakan hasil garapan dan suntingan sepenuhnya oleh pasukan produksi milik Adam yang berpusat di Kota Kinabalu.

Lagu ini juga boleh didengar melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox, Apple Music dan lain-lain.

Untuk info, Adam kini secara rasminya menjadi artis terbaru World Peace Entertainment (WPE) Sdn Bhd yang juga dinaungi oleh Ismail Izzani dan Naim Daniel.

Adam merupakan seorang penyanyi, pengacara, pencipta kandungan digital, aktivis dan usahawan.

Dia juga pernah dilamar oleh United International Pictures untuk menemubual pelakon dan pengarah filem Hollywood Pacific Rim: Uprising di Beijing, China.

Selain itu, Adam merupakan personaliti digital pertama dari Sabah yang dipaparkan oleh Netflix untuk iklan komersial di seluruh negara.

Adam juga terkenal di TikTok kerana banyak menghasilkan konten bersama nenek kesayangannya.