Kumpulan indie popular, Bunkface tampil dengan lagu terbaru mereka, Kita Punya Malaysia, sebagai lagu tema untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-61 kali ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, lagu tersebut dipilih daripada beberapa lagu penyanyi lain yang diterima untuk sambutan pada acara tersebut.

"Ia menjadi lagu rasmi kerajaan Pakatan Harapan untuk meraikan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dan ia akan disiarkan di media rasmi di seluruh negara," katanya pada sidang media Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya, hari ini.



Menurutnya, lagu tersebut mempunyai elemen 'most catchy' dan berlainan yang turut menunjukkan kerajaan baru mempunyai perubahan dan energetik.

"Dalam tempoh masa 5 tahun banyak perkara perlu dilakukan dan lagu ini menjadi medium yang sesuai," katanya.

Gobind turut menyatakan lagu patriotik terdahulu boleh terus dimainkan di stesen TV mahupun radio sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara ini.

Bagi acara Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 akan diadakan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang bermula 3 hingga 5 Ogos nanti.

Acara Kembara Merdeka Jalur Gemilang pula akan menjelajah ke seluruh negara bermula di Pulau Pinang pada 4 Ogos sehingga tamat pada 31 Ogos nanti ketika acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya.

Pada 25 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan lagu tema pada tahun ini.

Logo rasmi ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam menggambarkan simbol rakyat mengangkat tangan dan hati yang menyatukan mereka.

Sebanyak 632 penyertaan diterima dan kesemua cadangan logo Hari Kebangsaan ini akan dijadikan sebuah buku.

Beliau juga menjelaskan bajet untuk sambutan kali ini yang membawa tema Sayangi Malaysiaku lebih kecil dibandingkan sambutan pada tahun lalu lebih besar kerana meraikan perayaan ke 60 tahun.

Gobind menyeru rakyat Malaysia bersatu hati mengibarkan Jalur Gemilang dengan perasaan bangga bermula sekarang sehingga sepanjang Ogos dan diteruskan sehingga sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September nanti.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak & IG @bunkfaceband