Laman Utama
Lagu Laris...Kolaborasi Yonnyboii, Zynakal & Asyraf Nasir Berjaya!
Dilancarkan lebih sebulan lalu, lagu Tak Sangka nyanyian tiga bakat rap muda, Yonnyboii, Zynakal, dan Asyraf Nasir mencipta sejarah tersendiri dalam radar muzik tempatan.
Lagu terbitan Def Jam Malaysia berkenaan unggul di tempat pertama carta berprestij Carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia atau Carta RIM selama enam minggu berturut-turut.
Menjadi platform pengumpul data terkemuka tempatan, Carta RIM menjadi medan penentu kelarisan sesebuah lagu itu dalam kalangan pendengar. Kredibilitinya cukup terbukti dan hakikatnya ia menjadi rujukan semua penggiat muzik bagi mengetahui sejauh mana prestasi terkini karya mereka.
Justeru, pencapaian tersebut semestinya cukup membanggakan Def Jam Malaysia serta Def Jam Asia Tenggara (SEA) apabila karya segar itu diiktiraf dan memberi impak tersendiri. Apalagi, lagu itu dicipta tiga penyanyinya sendiri yang rata-rata muda remaja. Paduan idea mereka benar-benar berhasil sekaligus memukau pendengar.
Menurut Pengarah A&R & Pemasaran dan Ketua Def Jam Recordings Malaysia, Hermond Cheng, pencapaian itu cukup besar maknanya buat mereka.
“Kami memang tahu betapa berbakat dan besar potensi tiga penyanyi muda itu dalam membawakan angin segar dalam industri muzik. Tak Sangka juga antara karya yang kami sangat yakini mampu cipta evolusi. Jelas ia terbukti dengan pencapaian terbaru itu dan semestinya dalam pada tidak jangka, kami sangat bangga mengenainya,” katanya.
Selaku Pengarah Urusan Def Jam SEA, Joe Flizzow menyifatkan kejayaan itu menjadi alibi betapa muzik hip hop tempatan kian tinggi martabatnya. Sebagai pejuang genre itu selama beberapa dekad, Joe turut memuji sifat berani pejuang hip hop generasi kini dalam memastikan karya mereka memiliki nilai estetika berkualiti.
“Bagi saya kejayaan lagu ini membuktikan bahawa generasi baru pemuzik hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam penghasilan karya mereka. Ia juga menunjukkan bahawa peminat dan pendengar di negara ini amat menghargai lagu-lagu rap tempatan. Syabas kepada Yonnyboii, ZynAkal dan Asyraf,” katanya.
Berkongsi pencapaian manis itu, Yonnyboii mengakui kerja-keras mereka untuk merealisasikan lagu itu sebelum ini ternyata sangat berbaloi. Mana tidak, mereka sendiri berdepan pelbagai dugaan demi memastikan ia dapat dilancarkan. Dia juga sangat bersyukur gabungan mereka bertiga terbukti keputusan paling tepat.
“Sejujurnya kami bertiga memang tak sangka tapi pada masa sama memiliki keyakinan yang cukup tinggi terhadap lagu Tak Sangka selama ini. Persiapan yang kami buat pun bukan calang-calang. Walaupun banyak perancangan kena tunda disebabkan Covid-19, alhamdulillah kami dapat melancarkannya pada masa yang sangat tepat.
“Lagu ini cukup istimewa untuk saya dan pasukan sendiri disebabkan ia kolaborasi pertama kami bertiga. Apabila dapat bekerjasama dengan rakan baik dan adik-beradik satu label rakaman, keterujaan itu lebih luar biasa. Dengan kekuatan masing-masing menjadikan lagu itu jadi lebih gah dari segi bunyi dan susunannya,” katanya.
Bagi ZynAkal pula, dia menyifatkan projek itu memberi seribu satu makna buatnya secara peribadi. Bukan sekadar meraikan pencapaian sambutan luar biasa itu, namun dia akui prosesnya mengajar dia banyak perkara. Apalagi, dia sendiri baharu pertama kali bekerjasama dengan Asyraf.
“Alhamdulillah kami bertiga tak sangka yang lagu ini akan memberi impak kepada kami dan bersetuju bahawa ia banyak membantu kami. Pencapaian ini disebabkan keserasian kukuh antara kami. Sewaktu proses pembikinannya, itulah kali pertama saya berjumpa Asyraf dan terus boleh bekerjasama dengan begitu padu,” katanya.
Menurut Asyraf pula, dia berharap lagu berkenaan bakal menjadi ‘trademark’ atau ‘signature’ untuk tahun ini sebagai lagu semangat. Baik pendengar hip hop tegar ataupun dari pelbagai lapisan usia lain kerana lagu ini untuk semua. Menurutnya, dia teringin melihat lagu ini ke acara anugerah dan pentas lebih besar jika ada rezeki.
“Bagi saya, ia (kekuatan) terletak pada ramuan-ramuan dalam lagu ini sebab Yonnyboii dan ZynAkal sendiri ada stail berbeza, begitu juga saya. Walaupun terdapat perbezaan, kami bertiga ada suara hati yang sama. Itu adalah antara kekuatan utama selain irama muziknya adalah bukan irama hip hop yang klise.
“Pendengar menilai Tak Sangka sebagai sebuah lagu yang memiliki muzik bagus dan bukan sebab genrenya. Mereka bukan melihat apa instrumen yang digabungkan dalam melodinya mahupun hasil ciptaan siapa. Apabila mereka mendengarnya, terus rasa ingin bergoyang dan menikmatinya dengan penuh keseronokan,” katanya.
Setakat artikel ini ditulis, jumlah tontonan muzik video rasmi Tak Sangka di YouTube telah mencecah sekitar 4.4 juta.
Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klink banner di bawah untuk mengundi!