“Lagu Paling ‘Catchy’ Pernah Kami Bikin,” - BATE Pertaruh Single LANGGAR Hasil Kolaborasi Bersama Caprice, Zynakal & ....
Pasangan duo Wai Hong dan Ethan Curzon yang dikenali sebagai BATE mempeluaskan pengaruh mereka dalam industri muzik tempatan dengan berkolaborasi dengan penyanyi rap Caprice, Zynakal, Shou Raion dan Carlolitto.
Tampil dengan single berjudul LANGGAR, lagu tersebut merupakan ciptaan bersama Wai Hong, Ethan Curzon, Caprice, Zynakal, Shou Raion dan Carlolitto.
Malah, lagu ini turut mendapat sentuhan penerbit tersohor Bryan B yang bertindak sebagai penerbit rakaman bersama BATE.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Universal Music Malaysia, LANGGAR boleh disinonimkan dengan semangat untuk terus maju kehadapan walaupun banyak rintangan dan cabaran yang perlu dihadapi dalam kehidupan seharian.
Lagu yang mengetengahkan genre EDM ini bukan sahaja menyajikan muzik segar tapi rentak dan liriknya juga mampu menyuntik semangat buat mereka yang mengejar cita-cita dan kejayaan dalam hidup.
Mengulas tentang lagu tersebut Wai Hong dari BATE berkata, ia adalah lagu Melayu pertama mereka.
“Ini juga merupakan salah satu lagu yang paling ‘catchy’ pernah kami bikin setakat ini.
“Bekerja dengan artis-artis hebat Malaysia adalah suatu pengalaman yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu, menurut Zynakal pula, dia berharap lagu tersebut dapat memberi inspirasi kepada pendengar.
“Mimpi tanpa matlamat hanya impian. Saya harap lagu ini dapat mengingatkan pendengar bahawa tanpa usaha yang berterusan, impian mereka tak kemana.
“Tempuhi apa saja rintangan untuk sampai ke tempat yang hendak dituju, itulah yang lagu ini cuba sampaikan,” katanya.
Single terbitan bersama Universal Music Malaysia dan Lion Music Group ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.