Lagu Pen-Pineapple-Apple-Pen (PPAP) yang dinyanyikan oleh pelawak dan penyanyi Jepun, Pikotaro diiktiraf oleh Guinness World Record sebagai lagu terpendek yang berjaya tersenarai dalam carta Billboard Hot 100 di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laman web Guinness World Record, video lagu selama 45 saat itu telah ditonton lebih 67 juta kali sejak dimuat naik dalam YouTube pada Ogos lalu.

Namun lagu itu menjadi lebih popular selepas penyanyi Justin Bieber memaklumkan dalam Twitter bahawa video PPAP adalah video kegemarannya di internet.

Pembikinan video berke­naan yang hanya menelan kos 100,000 yen (RM3,987) menunjukkan Pikotaro memakai pa­kaian dengan corak haiwan menari sambil menyanyi lagu tersebut yang mempunyai lirik bahasa Inggeris ringkas seperti I have a pen. I have an apple. Apple pen.

Menurut laporan portal Guinness World Record, Pikotaro, 53, terkejut apabila lagu tersebut menjadi popular secara tiba-tiba.

“Tanpa pengaruh Bieber, saya rasa hanya empat orang sahaja yang akan muncul dalam bilik ini,’’ katanya dalam sidang akhbar yang dipenuhi wartawan semasa majlis penganugerahan rekod dunia itu di Tokyo baru-baru ini.

Lagu PPAP berada di tangga 77 carta AS minggu ini sekali gus menjadikan Pikotaro sebagai penyanyi lelaki Jepun pertama memasuki carta Billboard Hot 100 sejak 26 tahun lalu.

Pelawak berkenaan kini mahu menjelajah dunia dengan membawa lagu itu namun tidak menaruh harapan lagu tersebut akan menjadi kegilaan dunia selama-lamanya.

“Saya hanya mahu mengeluarkan lebih banyak lagu-lagu komedi secepat mungkin,’’ katanya.

Sumber: Utusan Online