Penyanyi Aina Abdul, 28, akui tidak takut untuk dikritik selepas tampil dengan lagu Sepi yang diberi nafas baharu dalam bahasa Korea.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkata dia sudah bersedia untuk mempelajari bahasa Korea supaya sebutan yang dilontarkan menjadi lebih baik.

"Saya tak takut.. sebab bagi saya lagu Korea pun ada selit bahasa Inggeris yang tak la begitu sempurna juga. Tapi kita semua terima sebab mereka jujur.

"Mereka tahu dan bukan saja-saja nak masukkan lirik dalam bahasa Inggeris. Macam saya sendiri, nampak bahasa Korea ini bukan bahasa kedua tapi satu bahasa yang bagus untuk dipelajari.

"Saya sudah bersedia untuk mempelajari bahasa Korea dengan lebih baik. Sebab saya sendiri peminat K-Pop.. semua lagu," katanya.

Aina ditemui ketika majlis pelancaran Truskin X Aina Abdul di Le Meridien, Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelantun lagu Semalam menyatakan sebab utama dia berani tampil dengan versi Korea kerana sudah mempunyai peminat K-Pop tersendiri.

"Saya bersyukur ada yang meminati saya menerusi lagu-lagu K-Pop yang saya nyanyikan semula di YouTube.

"Secara peribadi, saya menghormati budaya dan bahasa Korea. Ia adalah salah satu bahasa yang patut untuk saya pelajari," katanya lagi.

Cerita mengenai Aina ini juga disiarkan dalam AWANI 7:45, untuk menyaksikan dan mengetahui lebih lanjut, sila klik di sini.