Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lagu ‘Suatu Hari Di Hari Raya’ Berkumandang Di Konsert M N45IR Cipta 2, Ruang Axiata Arena ‘Dihujani’ 10,000 Keping Duit Raya

Khairil Khusyairi
14/10/2024 11:45 MYT
Penyanyi legenda Datuk M Nasir tampil memberikan terbaik dalam Konsert M N45IR Cipta 2 yang berlangsung di Axiata Arena, Sabtu lalu.

10,000 Duit Raya Buat Penonton

Biarpun cuaca hujan dan kesesakan lalu lintas tidak menghalang peminatnya untuk memberi sokongan pada malam penuh indah itu.

Lebih manis, konsert berdurasi 3 jam itu turut mencipta kenangan manis buat 8,000 penonton apabila penganjur, Icon Entertainment ‘menerbangkan’ 10,000 keping duit raya di penghujung konsert ketika lagu Suatu Hari Di Hari Raya.

Menurut penganjur yang diwakili Iman Tang, berkata, duit raya tersebut adalah simbolik kepada hari raya dan dalam masa yang sama ingin menyampaikan mesej betapa besarnya nilai RM1 pada 45 tahun yang lalu.

“Kita sediakan dalam 10 ribu sampul duit raya di mana setiap daripadanya diisi dengan duit kertas baru bernilai seringgit.

“Lagu hit Suatu Hari di Hari Raya itu sudah seperti lagu kebangsaan yang saya fikir perlu dibawakan walaupun kita bukan berada di bulan Syawal.

“Ada nota juga di sampul itu duit mengingatkan duit seringgit yang diberikan besar nilainya pada 45 tahun yang lalu,” ujarnya kepada pemberita usai konsert.

Ada Simbolik Tersendiri

Menyambut baik idea tersebut, M Nasir akui simbolik tersebut mempunyai maksud tersendiri dengan persembahan penuh menggamit kenangan itu.

“Selalunya benda seperti ini saya anggap kelakar sahaja.

“Tapi di sebalik kelakar, ada makna yang mendalam dari segi persembahan.

“Ia juga menunjukkan sikap pemurah dan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri penganjur walaupun seringgit,” kongsi M Nasir.

Jelas maestro muzik ternama itu lagi, pemilihan lagu ikonik tersebut itu adalah dedikasi buat mereka yang sedang bergolak menempuh kekejaman dunia.

“Sebenarnya saya mahu relevankan lagu itu dalam konsert yang bukan hari raya.

“Istilah ‘Hari Raya’ selalu kita guna untuk menggambarkan kegembiraan dan kemenangan.

“Saya mahu nyanyikan lagu itu kepada mereka yang terkesan peperangan dan penindasan,” jelasnya.

Tepat jam 8:50 malam, penyanyi yang digelar sebagai ‘Sifu’ dalam dunia seni itu membuka pentas dengan mendendangkan lagu Pawana dan Hukum Karma penuh energetik.

Konsert Konsert M N45IR Cipta 2 turut dihadiri beberapa selebriti tempatan seperti kumpulan Wings, kumpulan Spider, Lah Ahmad, Dato Fauziah Nawi, Farah Ahmad, Azhan Rani, Akim Ahmad, Stacy dan ramai lagi.

;