Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Lagu Tanggal 31 Ogos Bersifat Universal Diterima Semua Bangsa

Elrafaei Sapi 07/09/2018 | 12:54 MYT
Lagu popular, Tanggal 31 Ogos yang dinyanyikan Allahyarham Sudirman Haji Arshad terus diminati ramai peminat tidak kira bangsa yang membangkitkan semangat patriotisme pada negara tercinta.
Penyanyi dan komposer berpengalaman, Hadi Hassan berpandangan lagu tersebut menampilkan lirik yang mudah untuk disampaikan mahupun dinyanyikan secara bersama.
"Jika mahu lagu patriotik, tidak perlu terlalu rumit atau susunan muzik yang kita sendiri tidak faham. Hakikatnya, pendengar nak dengar lagu yang senang dan melodi yang santai," katanya kepada Astro Gempak.
Jelasnya, Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana mempunyai kepelbagaian bangsa dan etnik dibandingkan negara luar yang dimonopoli satu bangsa sahaja.
"Jadi, lagu patriotik yang bagus adalah lagu yang 'tangkap' pendengar daripada semua bangsa yang boleh mengaitkan lagu itu dengan diri mereka.
"Apa yang lebih penting sebenarnya adalah lagu itu boleh dinyanyikan bersama oleh semua. Jika kita buat lirik yang berbunga sehingga orang lain tak faham, tiada gunanya," katanya.
Mengambil contoh lagu nyanyian Sudirman itu, Hadi menyatakan lagu itu tidak merujuk pada sifat Melayu atau bangsa tertentu.
"Ia bersifat universal apabila semua masyarakat boleh terima. Bagaimana jika lagu itu dibuat dalam melodi irama tradiosional atau Tamil, ia tentu sukar diterima bangsa lain," katanya.
Baginya, lagu patriotik yang baik adalah mempunyai lirik yang ringkas dan secara terus.
"Buat lagu patriotik bukan macam lagu raya sebab ia bukan untuk satu bangsa tapi satu negara yang boleh diterima semua masyarakat termasuk kanak-kanak juga mudah menghafalnya," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Facebook - Datuk Sudirman Haji Arshad
#Hadi Hassan #Sudirman Hj Arshad #Tanggal 31 Ogos
;