Hiburan
Lagu Tema Filem Ejen Ali The Movie Didakwa 'Ciplak' Lagu TheFatRat? Ini Penjelasan Pengarah!
Pengarah filem Ejen Ali The Movie, Usamah Zaid Yasin akhirnya membuka mulut mengenai kontroversi yang melanda lagu tema filem berkenaan yang berjudul Bukalah Matamu.
Lagu yang dinyanyikan Aisyah Aziz itu dikatakan seakan sama seperti lagu The Calling, karya TheFatRat yang turut menampilkan Laura Brehm.
Menjelaskan keadaan itu, Usamah berkata, mereka tidak berniat untuk meniru karya asal tersebut seperti yang didakwa oleh kebanyakan netizen.
Menurut Usamah, lagu Bukalah Matamu memang dicipta dengan genre electronic dance music (EDM) dan terdapat beberapa kumpulan yang menjadi rujukan.
"Antaranya adalah Daft Punk dan Linkin Park, jadi bila ada orang sedar lagu itu sama dengan lagu The Calling, karya TheFatRat kami terkejut.
"Malah ada peminat yang komen terus di akaun TheFatRat," katanya yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Wau Animation.
Jelas Usamah lagi, sebagai langkah untuk tidak mengeruhkan keadaan, pihaknya bersama Media Prima bersetuju untuk berhubung dengan kumpulan berkenaan.
"Pihak TheFatRat juga faham dengan keadaan tersebut. Malah kami juga ada mengambil inisiatif untuk menawarkan mereka sedikit royalti dan meletakkan kredit nama.
"Pihak mereka pun faham dan akhirnya kami sepakat untuk meletakkan nama kumpulan itu pada 'end credit' filem ini dan ada juga perkongsian di situ," katanya.
Untuk makluman, Ejen Ali The Movie bakal ditayangkan pada 28 November ini.
Ejen Ali The Movie mengisarkan seorang budak berusia 12 tahun bernama Ali yang direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA).
Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa dikenali sebagai IRIS.