Pemergian penyanyi Siti Sarah Raissuddin menghadap Ilahi pada hujung tahun lalu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap seluruh warga Malaysia, khususnya para peminat.

Kehilangannya dirasai, sementelah oleh rakan artis yang rapat dan kerap berkolaborasi dengan arwah. Hal yang sama turut dialami oleh penyanyi dan komposer Naim Daniel.

Menerusi temu bual yang pernah disiarkan menerusi Gempak, Naim berkata yang Sarah sepatutnya menyanyikan sebuah lagu ciptaannya. Namun, projek berkenaan tidak kesampaian kerana Sarah pergi dahulu sebelum sempat lagu tersebut dirakam.

A post shared by Nikki Palikat (@nikkipalikat)


Selepas beberapa bulan lagu itu ‘diperam’, akhirnya, karya yang diberi judul Sudah itu diamanahkan kepada naib juara Gegar Vaganza Musim Ke-8, Nikki Palikat untuk dinyanyikan.

“Alhamdulillah, akhirnya sayang lagu AJL you dah ada yang akan nyanyi. Terima kasih Nikki Palikat. Semoga semuanya dipermudahkan… Lagu yang terlalu indah Naim Daniel,” tulis Shuib sambil memuat naik video latihan arwah Sarah di Instagram.

Dalam pada itu, Nikki turut mengulang siar video yang sama dan melahirkan rasa terharu dengan tanggungjawab yang diberikan kepadanya untuk menyanyikan lagu Sudah.

“Memang satu anugerah dan tanggungjawab besar apabila diberikan lagu yang pemilik asalnya adalah arwah Sarah Raisuddin. Seorang penyanyi dan insan yang amat saya kagum dari semua segi, bukan saja vokal.

“Tapi dalam video ini walaupun belum hafal sepenuhnya lirik tapi jiwanya tetap kuat dan menyinar. Jiwa itulah yang paling kita rindu. Terima kasih Shuib percayakan Nikki untuk membawakan lagu ini,” tulisnya.

Dalam hantaran lain, single Sudah bakal dilancarkan di seluruh platform digital pada 25 Mac 2022.

Untuk rekod, allahyarham Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus COVID-19.