Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lakar Sejarah, Tarian Breakdance Disenarai Pada Sukan Olimpik 2024 Paris

Azwa Rahman
10/12/2020 23:00 MYT
Breakdance antara empat sukan baharu bersama skateboard, luncur ombak dan memanjat, mendapat lampu hijau Olimpik untuk dimasukkan dalam temasya Paris 2024.

Empat sukan berkenaan dimasukkan selepas Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) bersidang untuk mengesahkan program Paris 2024 di Lausanne, Switzerland.

Skateboard, memanjat dan luncur ombak sudah dimasukkan dalam program Tokyo 2020 yang akan berlangsung tahun depan selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19 tahun ini.

Menurut Presiden IOC, Thomas Bach, pengenalan "breaking" (istilah untuk breakdance) adalah salah satu keputusan dalam Agenda Olimpik 2020.

"Kami mempunyai keutamaan untuk memperkenalkan sukan yang popular dalam kalangan generasi muda dan mengambil kira faktor 'urbanisasi' sukan berkenaan," kata Bach.

Breakdance tampil buat kali pertama di Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, dalam bentuk pertarungan satu lawan satu.

Penari Russia, Sergei Chernyshev bertanding di bawah nama Bumblebee, memenangi emas kategori lelaki manakala Ramu Kawai dari Jepun dalam kategori perempuan.


Sumber: Berita Harian

#Olimpik #Breakdance #Sukan baru
;